MP Jelebu Raikan Enam Pelajar Jelebu Yang Akan Ke London

 

Enam orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Undang Musa Al-Haj (SMK DUMA) Kuala Klawang, Jelebu mengharumkan nama negara apabila terpilih mewakili Malaysia ke acara International F1 in School World Final 2020/21 di Kota London Jun ini.

Mereka telah mencipta model kereta F1 dengan mengaplikasikan ilmu dan hukum fizik dengan dibimbing oleh guru, Mohd Faizal Mohd Deris.

Kejayaan ini disambut baik oleh Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang menyifatkan sebagai suatu kejayaan yang membanggakan walau terpaksa menunggu selama 12 tahun.

Dipetik dari hantaran facebook, beliau mengucapkan syukur kepada Tuhan disamping tahniah buat mereka yang terlibat sama.

“Apa lagi kata-kata yang boleh saya sebut melainkan rasa penuh syukur, gembira dan tahniah atas kejayaan amat cemerlang para pelajar SMK Dato’ Undang Musa Al-Haj (SMK DUMA), Kuala Klawang, Jelebu kerana berjaya jadi wakil Malaysia ke International F1 in School World Final 2020/21.

“Kumpulan pelajar SMK DUMA telah membuktikan kesungguhan dan istiqomah dalam berusaha sehingga mereka berjaya. Bukan tempoh masa yang singkat, 12 tahun itu sebenarnya cukup lama dan menggambarkan betapa tekun, sabar dan bersungguhnya mereka untuk terus berjuang hingga menang.

“Saya ingin zahirkan ucapan syabas buat Pengetua SMK DUMA, Cikgu Norazman Mohd Amin, guru pembimbing, Cikgu Mohd Faizal Mohd Deris dan enam ahli kumpulan FABULOUS9 ini, iaitu Anis Aliah binti Basri (Ketua Pasukan), Kon Shihuei Illuti, Ju Ee Sen, Vishwanath A/L Kanasenmurthi, Nur Naqiyah binti Jalil dan Mirza Rusyaidi bin Rahamat,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Pendidikan Parlimen Malaysia turut menyifatkan antara kunci kejayaan para pelajar ini adalah hasil sokongan dan bantuan dari barisan bekas pelajar sekolah itu sendiri.

“Tambah membanggakan, penglibatan Alumni SMK DUMA dalam pembangunan projek ini saya percaya telah membantu kejayaan ini. Saya ucapkan tahniah buat Pengerusi Alumni, Datuk Baharudin Jali dan semua barisan Alumni sekolah ini,” ujarnya.

Kumpulan pelajar yang menggelar diri mereka sebagai FABULOUS9 itu turut berpeluang menerima kata-kata semangat dan dorongan daripada Jalaluddin ketika bertemu di Jelebu pada pagi Jumaat, 26 Februari.

“Saya berdoa agar FABULOUS9 SMK DUMA dapat memecah rekod dunia dan membawa pulang kejayaan lebih hebat dari Kota London nanti. Percayalah, dengan acuan yang betul, sikap istiqomah dan disiplin yang tinggi, kalian mampu membawa pingat kejuaraan dunia ke Jelebu. Insya-Allah, saya tunggu kalian bawa pulang kejayaan nanti ya.

“Berita ini juga saya harap dapat menjadi suntikan motivasi buat para pelajar dan cikgu-cikgu sekolah lain dalam Jelebu khususnya dan negara ini amnya untuk kita terus berusaha bersungguh-sungguh mencari dan mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa,” tulisnya di facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *