Jika Tidak Dapat Hantar Anak Ke Sekolah Kerana Faktor Kesihatan, Tulis Surat
1 min read
Jika tidak dapat menghantar anak ke sekolah, ibu bapa mesti menulis surat kepada pihak sekolah, demikian kata Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Jidin sempena hari pembukaan semula sekolah yang akan bermula Isnin ini pada 1 Mac.
Para ibu bapa perlu menyertakan surat berkenaan jika tidak dapat menghantar anak ke kelas kerana faktor kesihatan.
“Ibu bapa harus menulis surat kepada pihak sekolah berserta dokumen sokongan untuk rekod, jika tidak dapat menghantar anak ke sekolah atas sebab tertentu seperti kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 bersama lima guru di Pejabat Kesihatan Putrajaya di Presint 11 hari ini.
Beliau berkata, sesi persekolahan secara bersemuka wajib untuk semua pelajar dan Kementerian Pendidikan akan memastikan semua sekolah mematuhi SOP ditetapkan bagi menjamin keselamatan pelajar.
Terdahulu, Radzi mengesahkan lima guru antara 55,539 guru berisiko tinggi bakal menerima suntikan vaksin dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Beliau turut menggesa semua 500,000 guru di seluruh negara segera mendaftarkan diri melalui aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan suntikan vaksin
“Ketika disuntik (vaksin), tidak rasa apa-apa. Alhamdulillah, semuanya baik. Semua rakyat Malaysia perlu mengambil ruang ini untuk mendaftar segera melalui MySejahtera supaya proses vaksinasi dapat berjalan lancar,” katanya. – Sepatah Dua