Mangsa Runtuhan Lebuh Raya SUKE Berjaya Dikeluarkan
1 min read
Semua lima mangsa terdiri pemandu dan penumpang van kilang yang terperangkap dihempap runtuhan perancah besi pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berjaya dibawa keluar malam ini.
Mangsa pertama dibawa keluar bermula jam 8.30 malam tadi sebelum mangsa terakhir dibawa keluar pada jam 9.29 malam.
Kesemua mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Canselor Tunku Mukhriz (HCTM) untuk menerima rawatan lanjut.
Namun sehingga kini tidak dapat dipastikan keadaan terkini mangsa lelaki yang berjaya dibawa keluar itu.
Mangsa dibawa ke HCTM menggunakan ambulans bomba dan diiring anggota polis trafik.
Pasukan dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) turut kelihatan di lokasi.
Laluan masuk ke lokasi turut dilencongkan dan pengguna kini perlu berpatah balik.
Perancah besi pembinaan itu runtuh selepas sebuah lori membawa jengkaut melanggar binaan terbabit, hari ini.