September 24, 2023

GPPAC19 : SOP Cegah COVID-19 Syarikat River Explorer Turut Ikut Prosedur Federasi Rafting Antarabangsa Cegah Penularan Wabak

4 min read

 

Pada saat wabak pandemik COVID-19 melanda negara ini awal tahun lepas, ramai pihak tidak begitu pasti apakah masalah yang bakal mereka hadapi. Keadaan menjadi perlahan-lahan semakin buruk menjejaskan sektor ekonomi Malaysia selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac tahun lepas.

Satu demi satu sektor perniagaan mula merintih ekoran semakin tenggelam dalam masalah ekonomi yang disebabkan oleh wabak penyakit.

Sektor pelancongan antara yang paling terjejas kerana ia mengharapkan pada kehadiran orang ramai untuk datang menikmati produk atau perkhidmatan pelancongan mereka.

Sukan rafting merupakan perkhidmatan utama yang disediakan oleh pihak REX dan ia adalah satu aktiviti lasak di sungai dan satu SOP khusus adalah amat mustahak

Selepas berbulan-bulan pergerakan orang ramai dihadkan serta sempadan negara ditutup, industri pelancongan memerlukan satu sistem penarafan kepada syarikat industri pelancongan bahawa mereka mematuhi serta menpraktikkan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan wabak COVID-19 tidak menular di premis atau kawasan produk mereka.

Platform Tourism Productivity Nexus (TPN) dengan sokongan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menyedari akan keperluan ini dan membangunkan Garis Panduan Patuh dan Amal COVID-19 (GPPAC19) untuk rujukan pemain industri pelancongan tempatan untuk meneruskan aktiviti perniagaan pelancongan dalam suasana normal baharu.

Ia telah dilancarkan pada 14 Julai 2020 oleh Ketua Pengarah MPC Datuk Abdul Latif Abu Seman melalui satu siri webinar.

Projek perintis GPPAC19 telah diberikan sijil pematuhan kepada 88 buah syarikat pemain industri pelancongan dan homestay.

Menurut MPC dalam satu kenyataan media, untuk diberikan sijil berkenaan, syarikat perlu melalui proses penilaian dan perakuan kendiri serta penilaian operasi secara atas talian.

“Garis panduan COVID-19 ini dibangunkan untuk menyokong usaha kerajaan dalam memastikan perniagaan mematuhi SOP dalam mencegah penularan wabak pandemik COVID-19.

“Aktiviti perniagaan perlu diseimbangkan dengan langkah pencegahan penularan pandemik dalam memastikan kelangsungan ekonomi serta peningkatan produktiviti,” kata, Datuk Abdul Latif.

Antara syarikat pengusaha pelancongan yang telah diberikan sijil ini ialah River Explorer (REX) yang beroperasi di Gopeng, Perak.

Sijil Patuh Garis Panduan Patuh dan Amal COVID-19 (GPPAC19) yang diberikan kepada syarikat River Explorer Asia yang beroperasi di Gopeng, Perak.

Syarikat ini menyediakan perkhidmatan aktiviti pelancongan lasak seperti whitewater rafting, trekking hutan, waterfall abseiling, kayak, river tubing dan aktiviti perkhemahan.

River Explorer Utamakan Keadaan Kesihatan Pelanggan Dan Pekerja

Pengendali REX, Nor Farhanna Mokhtar berkata REX amat mengutamakan supaya para pelanggan mereka turut sama mematuhi SOP ini dengan menyediakan borang untuk diisi oleh pelanggan supaya menjelaskan keadaan kesihatan mereka supaya bebas dari sebarang gejala berkaitan COVID-19.

“Dari situ kami akan mengesahkan dahulu penilaian kesihatan mereka apabila datang sebelum menjalankan apa-apa aktiviti bersama kami,” katanya.

BACA JUGA : 2021 Menjelma Dengan Penuh Harapan

Syarikat itu bukan sahaja menilai keadaan kesihatan pelanggan mereka tetapi juga kepada para petugas mereka dengan penilaian kesihatan yang terperinci dan konsisten.

Nor Farhanna berkata mereka akan mengambil rekod suhu badan para petugas setiap hari sebelum mula bertugas dan setiap petugas ada perkara yang perlu dilakukan pada setiap hari semasa bertugas untuk memastikan mereka sentiasa mematuhi SOP.

Syarikat River Explorer turut melakukan simulasi keadaan sebenar menerima pelanggan untuk memastikan prosedur SOP difahami dengan jelas dapat dilaksanakan.

“Pihak syarikat juga mengadakan perbincangan dengan semua petugas tentang pelaksanaan SOP serta menerima idea dari petugas bagaimana SOP perlu dilaksanakan serta pihak syarikat memberikan bimbingan kepada petugas untuk sentiasa mematuhi SOP,” katanya.

REX Turut Lakukan Simulasi Sebenar Penerimaan Pelanggan

Bagi melihat keberkesanan pelaksanaan SOP mereka, pihak REX turut menjalankan simulasi ketika kehadiran pelanggan sebenar bagi memastikan segala langkah dan prosedur yang perlu dipatuhi dilakukan dengan betul apabila pelanggan sebenar hadir nanti.

“Setiap langkah pematuhan SOP adalah berdasarkan prosedur yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga kami gabungkan dengan SOP dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” ujar Nor Farhanna.

Bukan sahaja SOP negara ini, beliau berkata pihak REX turut mengikuti SOP yang dikeluarkan oleh Federasi Rafting Antarabangsa (IRF) untuk menghasilkan SOP dari pihak REX untuk dipatuhi semua termasuk pelanggan.

Menurut beliau, pelaksanaan SOP khusus untuk perkhidmatan untuk sukan rafting yang disediakan mereka amat perlu memandangkan SOP yang dikeluarkan oleh pihak MKN dan KBS adalah terlalu luas dan umum.

Garis panduan International Rafting Federation (IRF) khusus untuk operator aktiviti rafting yang digunakan oleh River Explorer dalam pelaksanaan SOP pematuhan COVID-19 mereka.
Penanda untuk penjarakan fizikal turut diletakkan di atas lori iaitu kenderaan yang akan membawa pelanggan River Explorer ke tempat permulaan aktiviti rafting.

Sukan rafting merupakan perkhidmatan utama yang disediakan oleh pihak REX dan ia adalah satu aktiviti lasak di sungai dan satu SOP khusus adalah amat mustahak.

“Kami cuba menggabungkan SOP kerajaan Malaysia dengan IRF untuk menjadikannya lebih terperinci dan bersesuaian dengan lokasi kami iaitu di negeri Perak,” katanya.

Semua SOP Disediakan Dengan Jelas Untuk Pelaksanaan Menyeluruh

Menurut Nor Farhanna, selepas semua simulasi, perbincangan dan pelaksanaan SOP pihak REX menyediakan dokumen terperinci untuk dibentangkan kepada pihak MPC.

“Kami menyediakan penjelasan terperinci semua SOP bermula dari sebelum kami menerima pelanggan, semasa kami menerima kehadiran mereka dan ketika menjalankan aktiviti bersama kami,” katanya.

Satu sistem pensijilan seperti ini amat penting supaya para pemain industri pelancongan dapat terus beropeasi dalam keadaan normal baharu tanpa sebarang masalah atau kebimbangan jangkitan wabak pandemik akan berlaku ketika pelanggan datang dan menjalankan aktiviti.

Jika pelanggan menjalankan aktiviti rafting bersama REX, mereka akan dibawa menaiki lori ke tempat permulaan aktiviti dan REX telah meletakkan penanda di atas bangku di atas lori supaya penjarakan fizikal dipraktikkan.

Selain pensijilan GPPAC19, sebelum ini juga syarikat REX juga sudah diberikan sijil Malaysia Tourism Excellence (MaTEx) kerana mematuhi standard pelancongan dengan prosedur dengan operasi yang lebih sistematik.

Idea pensijilan GPPAC19 bertujuan memastikan syarikat pelancongan boleh terus hidup secara tidak langsung produktiviti sektor berkenaan tidak terbantut ekoran wabak COVID-19 kerana industri pelancongan merupakan antara penyumbang terbesar kepada kelangsungan pembangunan ekonomi negara. – Sepatah Dua

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *