September 28, 2023

Disyaki Terlibat Panah Anjing Liar, Dua Lelaki Ditahan

1 min read

 

Pihak polis menahan dua orang lelaki yang disyaki terlibat membunuh anjing liar dengan cara memanah haiwan itu dalam kejadian yang berlaku di Seberang Jalan Putra, Alor Setar, Kedah petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Ahmad Shukri Mat Akhir berkata sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar menahan suspek pertama yang berumur 30-an di satu lokasi di Jitra.

“Suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu ditahan pada 4 petang. Siasatan lanjut membawa kepada rampasan dua busur pemanah, satu tabung pengisi anak panah dan 21 anak panah di rumah suspek di Mergong, di sini.

“Sejam kemudian, polis berjaya menahan seorang lagi suspek berumur 20-an yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian itu. Dia ditahan di tepi jalan di Kampung Hilir, Kepala Batas dekat sini,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Shukri berkata, kedua-dua lelaki itu diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk siasatan di bawah Seksyen 29(1)(E) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 45 Akta Binatang 1953.

Terdahulu, polis menerima laporan daripada seorang pengadu yang melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung tindakan seorang individu yang memanah anjing liar sehingga mati, yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook.

Rakaman yang tular di media sosial itu menunjukkan seorang lelaki memanah anjing liar antara 4.21 dan 5.26 pagi, Khamis lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *