Pasangan Kekasih Yang Dikompaun RM10,000 Ketika Makan Bukan Dikompaun Oleh Polis
1 min read
Polis telah memanggil dan mengambil keterangan sepasang kekasih yang memuat naik satu hantaran di media sosial yang mendakwa mereka dikompaun RM10,000 ketika sedang makan dan minum di Cheras sebelum ini.
Pasangan tersebut dipanggil Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, petang semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, berdasarkan siasatan awal, pasangan itu dikenakan kompaun oleh sepasukan pegawai penguat kuasa daripada sebuah agensi kerajaan.
“Pasangan berkenaan dikesan memuat naik kenyataan mereka dikompaun sedang makan dan minum selain kecewa dengan tindakan penguat kuasa yang dianggap mengeluarkan kompaun secara salah dan tidak masuk akal.
BACA JUGA : Syarikat Kurier Kantoi Guna Patung Jadi Pekerja
“Hasil siasatan yang dibuat mendapati bukan pihak polis yang mengeluarkan kompaun berkenaan, sebaliknya satu pasukan penguat kuasa daripada sebuah agensi kerajaan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia.
Tambah beliau, polis sudah merakam percakapan ke atas kedua-dua pasangan terbabit bagi membantu siasatan.

“Kita juga akan meneliti kes berkenaan selain merujuk dakwaan pasangan itu kepada Kementerian Kesihatan yang berperanan sepenuhnya atas kompaun yang dikeluarkan,” katanya.
Semalam, pasangan itu memuat naik situasi kejadian yang berlaku di mana mereka mendakwa masih memakai pelitup muka semasa membuat pesanan kira-kira pukul 11.14 pagi.
Bagaimanapun, mereka menanggalkan pelitup muka sebaik minuman mereka dihidangkan pada pukul 11.16 pagi.
Namun pada 11.37 pagi, mereka mendakwa didatangi sekumpulan sepuluh pegawai semasa makanan dan minuman berada di atas meja sebelum pegawai terbabit mengarahkan mereka mengeluarkan kad pengenalan untuk tindakan kompaun.