December 8, 2022

Pusat Hiburan Paling Tinggi Ingkar SOP

2 min read

Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam terus naik lagi untuk hari kedua berturut-turut.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 458 individu diberkas semalam berbanding 337 individu ditahan kelmarin dan 223 individu dicekup Jumaat lalu.

“Daripada jumlah itu, seramai 438 dikompaun, tujuh direman dan 13 lagi dijamin dengan kes tertinggi ialah aktiviti pusat hiburan sebanyak 260,” katanya melalui kenyataan akhbar hari ini.

Ini diikuti rentas kawasan tanpa izin (90), tiada sedia alat rekod butiran diri (40), gagal patuh jarak fizikal (39), tiada memakai pelitup muka (26) dan premis beroperasi lebih masa (tiga).

Kesemua dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 70,320 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,253 pasukan di seluruh negara.

Ismail Sabri menambah, seramai 14,998 anggota itu memantau sebanyak 6,767 restoran, 4,668 pasar raya, 4,256 penjaja, 2,785 bank, 2,590 kilang selain 898 buah pejabat kerajaan.

Turut dipantau ialah sejumlah 18,718 tempat riadah, 294 rumah ibadah selain 3,502 terminal pengangkutan darat, 1,860 terminal pengangkutan air dan 596 terminal pengangkutan udara.

Seramai lapan orang pendatang asing tanpa izin ditahan semalam melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan negara dan membendung kes wabak Covid-19.

“Empat kenderaan darat dirampas selain 116 buah bot atau kapal yang dicurigai telah dikesan berdekatan dengan zon perairan negara melalui 10 aktiviti penglihatan,” tegas Ismail Sabri.

Op Benteng itu ujar beliau lagi, turut mengadakan 275 sekatan jalan raya di seluruh negara dengan sembilan melibatkan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) dan 51 dilaksanakan polis.

Beliau memaklumkan bahawa sejumlah 69 operasi sanitasi awam juga dilakukan di negara ini semalam yang meliputi 23 zon merah, lima zon jingga, 11 zon kuning dan tiga zon hijau.

Ia melibatkan penugasan seramai 348 anggota bomba, 200 anggota pihak berkuasa tempatan dan lima lagi dari pelbagai agensi serta dibantu dengan penggunaan 49 buah jentera bomba.

Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 808 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah diarah untuk menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.

“Sejumlah 6,992 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 77 hotel serta 12 buah institusi latihan awam dan swasta di seluruh negara,” kata Ismail Sabri.

Seramai 1,023 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala 136,866 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas dikuarantin.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 622 peruncit, 141 pemborong dan 31 pengilang.

Penguat kuasa kementerian tersebut kata Ismail Sabri, juga melakukan sejumlah 2,134 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya satu premis terbabit diberikan nasihat. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *