September 24, 2023

Permit Rentas Negeri Untuk Kerja, Tetapi Pasangan Ini Pergi ‘Honeymoon’?

1 min read

SEPASANG suami isteri muda dipanggil polis bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan menyalahguna permit perintah kawalan pergerakan yang ditular di dalam media sosial.

Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah, sebelum ini seorang ahli perniagaan dan isterinya memohon permit PKP untuk ke Johor Baharu atas urusan perniagaan pada Isnin lalu.

Berdasarkan dokumen yang dikemukakan termasuk surat arahan bertugas dari syarikat, polis meluluskan permohonan untuk merentas negeri mulai Rabu hingga Sabtu, lapor Sinar Harian.

Bagaimanapun, pasangan berkenaan menjadi kecaman netizan pada hari Jumaat apabila gambar kononnya mereka pergi berbulan madu disebuah pusat peranginan telah tular di media sosial.

Pihak polis dipersalahkan orang ramai kerana memberikan kebenaran merestas negeri kepada pasangan untuk berbulan madu.

Ashari berkata, pasangan muda berkenaan mengakui bahawa gambar yang ditular merupakan diri mereka dan telah mengemukakan bukti segala urusan perniagaan serta resit tempat penginapan mereka.

Beliau bagaimanapun berkata, pasangan itu menafikan mereka berada di Pulau Perhentian, Terengganu sepertimana yang telah ditularkan.

Ashari menasihati orang ramai yang diberikan kelulusan rentas negeri supaya bertanggungjawab dan tidak menyalahgunakannya kerana tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka yang berbuat demikian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *