June 3, 2023

“Fikir Masak-Masak Dulu” – Bekas Pesakit COVID19 Minta Kerajaan Halang Rentas Negeri Balik Raya

2 min read

Oleh Bekas pesakit Covid-19

MASYARAKAT majmuk di Malaysia pantang adanya perayaan, sudah pasti mereka akan berpusu-pusu pulang ke kampung halaman. Ada juga golongan yang ‘urban’ atau tidak selesa dengan perkampungan, mereka akan guna cuti perayaan ini untuk pergi bercuti.

Yang pasti, ketika musim perayaan terutama Aidilfitri dan Aidiladha, kota metropolitan di sekitar Lembah Klang akan sunyi sepi dan menjadi tempat ‘perayaan’ warga asing.

Ini merupakan amalan turun temurun yang agak sukar dikikis dalam kehidupan masyarakat kita. Nak kata salah ibu mengandung pun tak kena juga, ia telah menjadi sebati dalam hidup kita sebenarnya.

Sebab itulah apabila pada tahun 2020 kerajaan perkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menyebabkan tiada siapa dibenarkan untuk pulang beraya di kampung, suasana dalam negara ini penuh dengan titisan air mata.

Majoriti orang kita tidak pernah menyambut hari raya tanpa keluarga besar di kampung halaman. Jika ada sekali pun, ia sekadar pulang ke kampung mentua.

Tahun 2021 ini ia sekali lagi menjadi polemik apabila Bulan Islam Syaaban telah muncul. Mana tidaknya, berbaki dalam sebulan ke dua bulan saja lagi umat Islam akan menyambut Aidilfitri.

Ramai yang gusar dan susah hati kerana tidak mahu peristiwa ‘beraya secara online’ seperti tahun lalu kembali berlaku di tahun ini.

Namun pihak berwajib terutama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu bersungguh-sungguh meneliti akan perkara ini.

Masyarakat kebanyakan mahu mendengar jawapan dari kerajaan bahawa mereka dibenarkan melakukan aktiviti rentas negeri untuk pulang berhari raya.

Dalam masa sama virus Covid-19 yang telah membunuh seramai lebih 1,000 orang di negara ini terus akan merebak sekiranya aktiviti rentas negeri dibenarkan.

Masyarakat harus sedar dan tahu, aktiviti rentas negeri telah menjadi penyebab utama virus maut itu merebak dengan cepat dan agresif.

Sekiranya aktiviti rentas negeri dibenarkan buat kali kedua selepas kali pertama pada 10 Jun tahun lepas, maka tak mustahil kluster akan mencanak naik, dan kes baharu harian juga akan makin bertambah. Ia telah berlaku sebelum ini.

Justeru, sekiranya kerajaan ingin membuka aktiviti rentas negeri, disarankan agar kes harian benar-benar landai iaitu mencecah dua angka, kapasiti katil dan pusat rawatan dalam negara makin terkawal dan kes sembuh juga meningkat dari semasa ke semasa.

Sekiranya semua ini masih belum berlaku, kita amat berharap kepada pihak kerajaan supaya tidak membenarkan aktiviti rentas negeri ini walaupun ketika musim perayaan.

Dalam hal ini, saya cukup yakin dengan kemampuan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba untuk melakukan yang terbaik dalam ‘menjaga nyawa’ masyarakat di negara ini. Selain dibantu rapat oleh pasukan pelaksana bermula dari Ketua Pengarah Kesihatan sehinggalah ke petugas kesihatan di hospital dan klinik kesihatan.

Benarkanlah untuk aktiviti ‘mencari makan’ atau ekonomi kerana ia suatu keperluan hidup, tetapi tolong jangan benarkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan perayaan kerana ia sekadar kehendak hidup kita semata-mata.

Kata kawan saya, kita mungkin akan mati kebuluran jika tidak dibenarkan untuk mencari ‘sesuap nasi’, tetapi kita tidak akan sesekali mati jika tidak dibenarkan makan ketupat, rendang dan lemang di kampung halaman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *