November 29, 2022

Pyongyang Jangan Ingat Kita Akan Diam Sahaja, Angkatan Tentera Sentiasa Bersiap Sedia

2 min read

 

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini mempertingkatkan tahap persediaan terutamanya tentang keselamatan siber selepas kenyataan ugutan yang dibuat oleh Kaunselor Kedutaan Korea Utara di Malaysia, Kim Yu-Song.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang (Gambar) berkata, pertama sekali ATM akan memastikan negara ini selamat dengan meningkatkan tahap kesiapsiagaan.

Menurutnya, ancaman di zaman ini bukan sahaja berbentuk fizikal tetapi turut berkaitan keselamatan siber.

“Kita akan buat pemerhatian terutama dalam keselamatan siber dan akan buat yang terbaik yang mana pasukan kami bekerja keras.

“Matlamat ATM akan memastikan semua selamat dalam segala sudut,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao ke -16 (TPA M-16), di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, di ibu negara, hari ini.

MARI BACA : Adik Perempuan Kim Jong Un Beri Amaran Kepada Amerika Syarikat

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Yu-Song yang mengatakan Malaysia perlu menanggung akibat daripada tindakan itu apabila mengenakan pendakwaan terhadap rakyatnya.

Terdahulu, Pyongyang mengumumkan pihaknya menamatkan hubungan diplomatik dengan Malaysia, selepas mahkamah Malaysia memutuskan seorang ahli perniagaan Korea Utara boleh diekstradisi ke Amerika Syarikat, untuk menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram.

Malaysia dan Korea Utara mewujudkan hubungan diplomatik pada 1973, serta mengecapi pelbagai pencapaian diplomatik dan perdagangan hinggalah pada 2017, apabila Kim Jong-nam iaitu abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, dibunuh di Malaysia.

Bercakap tentang TPA M-16, Affendi berkata, pasukan itu akan bergerak pada 26 Mac ini ke Manila, Filipina sebelum menjalani proses kuarantin.

“Selepas itu baru mereka akan bergerak ke Mindanao dan proses serah tugas dengan TPA M-15 akan dilakukan di sana.

“Seterusnya TPA M-15 akan bergerak pulang ke Malaysia pada 10 April ini sementara TPA M-16 akan meneruskan tugas pemantauan dan mengawasi proses gencatan senjata antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF),” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.