GPPAC19 : Satisfly Diiktiraf Bersedia Amal Dan Patuh SOP COVID-19 Sebelum Bawa Anda Terbang
4 min read
Perkataan “satisfy” dalam bahasa Inggeris bermaksud puas. Pelbagai perkara yang orang lakukan demi untuk mendapat kepuasan. Ada yang bekerja tak kira siang malam untuk mendapatkan kepuasan.
Ada yang bercucuk tanam untuk mendapatkan kepuasan. Apabila manusia puas, mereka akan berasa lega dapat mencapai sesuatu yang mereka inginkan.
Ada orang yang melancong untuk mendapat kepuasan. Ada bermacam-macam jenis tempat dan produk pelancongan yang ada demi untuk kepuasan mengembara. Melancong merupakan satu aktiviti yang dilakukan iaitu melawat sesuatu tempat dan merasai pengalaman bersama produk pelancongan berkenaan.
Pada masa sekarang, ketika pandemik COVID-19 membelenggu sektor ekonomi dunia industri pelancongan ibarat lumpuh dan tumbang ke bumi apabila hampir semua negara menutup pintu keluar dan masuk ke negara mereka untuk menghindari dari wabak berkenaan menular dalam negara.
Hari demi hari, bulan demi bulan, sudah setahun COVID-19 melanda dunia dan Malaysia serta virus itu sudah pun ada dalam masyarakat. Sektor ekonomi tidak boleh terus mati dan perlu terus hidup, satu tatacara dan sistem diwujudkan bagi memastikan ekonomi terus berjalan iaitu prosedur operasi standard (SOP).
Bagi memastikan SOP diikuti dan diamalkan, para penggiat industri mesti mematuhi dan mengamalkan SOP supaya sistem yang ada berjaya mengelak jangkitan daripada terus berlaku.
MARI BACA : Manusia,Persekitaran Dan Peralatan
Pada 14 Julai tahun lepas, platform Nexus Produktiviti Pelancongan (TPN) di bawah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah mewujudkan Garis Panduan Patuh dan Amal COVID-19 (GPPAC19) sebagai rujukan pemain industri pelancongan tempatan supaya kegiatan ekonomi mereka dapat terus berjalan dalam suasana normal baharu.
Ia telah dilancarkan oleh Ketua Pengarah MPC, Dato’ Abdul Latif Abu Seman
Sebanyak 88 buah syarikat telah diberikan pensijilan GPPAC19 selepas melalui proses penilaian dan perakuan kendiri mengikut kriteria yang diperlukan untuk diberikan sijil berkenaan.
Antara kriteria utama dalam penilaian ke atas syarikat ialah keperluan wujudnya satu mekanisme penilaian risiko.
Satisfly Outdoor Ventures Satu Daripada Syarikat Terima Sijil GPPAC19
Satu daripada syarikat yang menerima pensijilan ini ialah Satisfly Outdoor Ventures (Satisfly).
Mereka memberikan perkhidmatan untuk “satisfy” atau kepuasan para pelanggan mereka dengan membawa mereka terbang dengan gaya Tandem Paragliding.

Tandem Paragliding ialah pengalaman pelancong terbang dengan menggunakan alat paraglider secara berdua iaitu bersama seorang pengendali paraglider yang bertauliah. Untuk terbang mengendalikan paraglider, seseorang itu wajib memiliki lesen yang diiktiraf.
Itulah perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat Satisfly, iaitu memberi kepuasan dengan membawa pelanggan mereka terbang.
SOP Mesti Diutamakan Selain Kepuasan Pelanggan Semata-mata
Pengasasnya, Mohd Khairul Kamaruddin berkata untuk terus memberikan kepuasan dalam perkhidmatan mereka, Satisfly mengutamakan pematuhan dan amalan SOP bagi memastikan keselamatan pelanggan mereka ketika terbang dan kesihatan pelanggan mereka terpelihara daripada sebarang jangkitan.
Bagi memenuhi kriteria penilaian kendiri, beliau melihat dan meneliti secara terperinci prosedur menerima pelanggan sebelum ini bermula dari masa tempahan dari pelancong sebelum mewujudkan satu sistem lebih bersesuaian dengan normal baharu.
“Daripada tempahan online dan sebagainya, Satisfly menyediakan Google Form di mana peserta dikehendaki mengisi pengisytiharan kesihatan serta mereka perlu nyatakan sejarah perjalanan mereka mungkin ada dari tempat berisiko,” katanya.
Selain itu, syarikat yang menerima pensijilan GPPAC19 turut melakukan satu simulasi bagi membiasakan semua lapisan syarikat dengan SOP yang diwujudkan supaya ia dapat digunakan sepenuhnya apabila menerima kehadiran pengunjung yang ingin melakukan Tandem Paragliding.
“Kami melakukan simulasi kembali untuk mengenal pasti mana aktiviti terdedah kepada sentuhan fizikal dan mewujudkan cara untuk mengelakkannya untuk mengurangkan risiko.
“Simulasi untuk kenal pasti jika ada operasi yang boleh membuatkan pelancong terdedah kepada jangkitan, contoh yang kami temui, di penghujung aktiviti flying video dari Go Pro akan dipindahkan terus ke telefon bimbit peserta.
“Di sini kami kenal pasti, telefon bimbit adalah alat yang ada risiko tinggi untuk memindahkan virus, kami akan mewajibkan langkah membasmi kuman ke atas permukaan telefon bimbit mereka,” kata Mohd Khairul.
Satisfly Turut Patuhi SOP KBS Dan Badan Sukan Udara Dunia FAI
Satisfly juga mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak Federation Aeronautique Internationale (FAI) atau Federasi Sukan Udara Dunia bagi pelaksanaan aktiviti sukan di udara.
Beliau berkata semua peralatan akan disanitasi mengikut SOP oleh pihak FAI dan pihak Satisfly juga mengamalkan penjarakan fizikal mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“SOP normal baharu juga dilaksanakan dengan ketat semasa di meja pendaftaran iaitu mengimbas QR My Sejahtera, barisan untuk penjarakan fizikal, sanitasi tangan dan pemeriksaan suhu badan,” katanya.
Mohd Khairul berharap semua penggiat industri pelancongan lasak dapat mengambil langkah pencegahan COVID-19 dan bersama-sama mengembalikan keyakinan kerajaan bahawa industri pelancongan juga peka dengan isu pandemik ini dan penggiat juga ingin kembali merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.
Inisiatif TPN Turut Bantu Agensi Lain Dalam Persediaan Negara Kembali Menerima Pelancong
Pada 22 Mac yang lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata pihak kementerian bersedia dengan SOP yang sepatutnya jika pintu sempadan antarabangsa kembali dibuka untuk aktiviti pelancongan.
Beliau berkata perkara paling utama dalam SOP berkenaan ialah pematuhan terhadap ujian saringan COVID-19 sebelum memasuki negara ini.
“Selain itu, antara lain SOP berkaitan termasuklah menggunakan ejen pelancongan berdaftar dan melancong dalam jumlah yang kecil.
“Antara aktiviti pelancongan yang kita sasar untuk dibuka kepada pelancong asing termasuklah sukan golf dan aktiviti luar seperti selam snorkel dan menyelam,” katanya.
Inisiatif pensijilan GPPAC dari pihak TPN juga membantu pihak kementerian dalam memastikan para pengusaha industri pelancongan dalam skala apa pun turut bersedia dengan mekanisme pematuhan dan amalan garis panduan pencegahan jangkitan COVID-19.
Bukan sahaja mereka mematuhi SOP malah mereka juga sudah mampu menilai sendiri risiko yang bakal ada. Hasil daripada simulasi dan penyediaan secara terperinci, syarikat yang menerima pensijilan GPPAC19 dari MPC sudah bersedia dari peringkat tempahan, penerimaan pelancong, perjalanan program serta selepas aktiviti pelancongan dijalankan.
Para pengusaha ini bukan sahaja sudah bersedia malah sentiasa bersiap siaga menerima kehadiran pelancong. – Sepatah Dua