GPPAC19 : Kellie’s Castle Pamer Banyak Poster Ingatkan Pengunjung Patuh SOP Ketika Melancong
4 min read
Jika anda melalui Jalan Gopeng dan berada dalam daerah Batu Gajah, biasanya anda akan terlihat sebuah bangunan yang tersergam indah di atas bukit yang sudah terkenal di negara ini iaitu Kellie’s Castle.
Selain sejarahnya yang hebat, bangunan itu juga dipenuhi pelbagai kisah misteri dan seram serta paranormal yang turut menjadi antara tarikan pelancong untuk melawat bangunan berkenaan.
Kellie’s Castle ialah sebenarnya sebuah rumah agam yang dibina pada tahun 1910 oleh seorang pemilik ladang dari Scotland yang bernama William Kellie Smith. Nama lain bagi Kellie’s Castle ialah Kellas House sempena nama sebuah kampung di Scotland iaitu tempat William berasal.
Ia dibina mengikut reka bentuk sebuah istana di India. Tukangnya juga dibawa dari Madras. Bangunan itu ada 14 bilik, sebuah cellar menyimpan wain dan terowong rahsia. Ia juga dilengkapi dengan sistem lif yang pertama di Tanah Melayu.
Kini, ia merupakan sebuah lokasi pelancongan yang menjadi persinggahan pengunjung dari dalam dan luar negara.
Pengurusan Kellie’s Castle Merupakan Antara Penerima Sijil GPPAC19
Pengurusan Kellie’s Castle kini diterajui Le Shuttle Event (M) Sdn Bhd. Pihak pengurusannya merupakan satu daripada 88 buah syarikat pelancongan yang menerima pensijilan Garis Panduan Patuh dan Amal COVID-19 (GPPAC19) yang telah dilancarkan pada 14 Julai 2020.
Pada tarikh berkenaan Nexus Produktiviti Pelancongan (TPN) di bawah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah mewujudkan Garis Panduan GPPAC19 untuk menjadi rujukan oleh pengusaha industri pelancongan tempatan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) mencegah penularan wabak COVID-19. Ia telah dilancarkan oleh Ketua Pengarah MPC, Dato’ Abdul Latif Abu Seman.
Pada awal tahun lepas, industri pelancongan negara lumpuh ekoran sempadan negara ditutup dan Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan kerana pandemik penyakit berkenaan turut melanda negara. Ekoran itu, aktiviti melancong seakan terhenti terus di Malaysia selama beberapa bulan.
Apabila semakin lama, industri perlu bergerak semula dan industri pelancongan tidak terkecuali. Untuk terus bergerak, mereka perlu garis panduan serta ada kriteria yang perlu diikuti supaya para pelancong yakin untuk menggunakan produk mereka tanpa ragu-ragu.
Pensijilan GPPAC19 memerlukan syarikat pelancongan ada sistem penilaian risiko serta melakukan perakuan kendiri tentang tahap pematuhan SOP COVID-19 untuk pengunjung, petugas dan operasi mereka.
MARI BACA : Fakta : Johor Paling Ramai Tok Imam, Perak Paling Ramai Bilal Dan Noja
Bagi Kellie’s Castle, mereka menyediakan produk lawatan dan pengalaman pengunjung ke bangunan berkenaan untuk melihat kecantikan bangunan berkenaan serta memahami sejarahnya.
Sentiasa Patuh Garis Panduan SOP MOTAC Dan Majlis Keselamatan Negara
Pengarah Urusannya, Zamari Haji Muhyi berkata ketika waktu penyakit COVID-19 ini, pihak pengurusan Kellie’s Castle sentiasa mengamalkan SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pengusaha produk pelancongan.

“Kami melaksanakan penggunaan kod QR MySejahtera, memastikan setiap pengunjung diambil suhu badan mereka, menyediakan secukupkan cecair pembasmi kuman di tempat strategik di Kellie’s Castle dan memastikan penjarakan fizikal sentiasa dipatuhi oleh pengunjung.
“Kami juga memastikan pengunjung sentiasa memakai pelitup muka dan menggalakkan mereka menggunakan cecair pembasmi kuman, kami mempamerkan poster peringatan di setiap sudut di dalam kawasan Kellie’s Castle dan kerap melaksanakan proses sanitasi di kawasan yang kerap disentuh oleh pengunjung,” katanya.

Beliau berkata setiap aspek pematuhan oleh pengunjung amat diutamakan oleh pengurusan Kellie’s Castle kerana dengan memastikan SOP dipatuhi dan keselamatan pengunjung terpelihara barulah industri pelancongan boleh terus bergerak seperti sediakala dengan normal baharu seterusnya kembali memulihkan masalah yang membelenggu pengusaha sebelum ini.
Turut Patuh Dan Amal Tujuh Kriteria Penilaian Kendiri Pensijilan GPPAC19
Bagi penilaian kendiri, Zamari berkata Kellie’s Castle melakukan penilaian kendiri beradasarkan SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan termasuk yang tidak menjurus kepada operator produk pelancongan.
“Namun, setelah melalui penilaian yang dijalankan bersama dengan pihak MPC, pihak pengurusan telah mendapat pengetahuan lebih lanjut tentang tujuh kriteria yang ditetapkan yang membuatkan Kellie’s Castle telah dianugerahkan sijil GPPAC19,” katanya.
Menurut beliau, antara tujuh kritera berkenaan untuk pensijilan GPPAC19 selain mematuhi SOP ialah memastikan kebersediaan pekerja, menitikberatkan keselamatan, kesihatan dan kebersihan, membina keyakinan pelancong dan memaksimakan penggunaan teknologi.
Selain mengamalkan SOP dalam perkhidmatan mereka, Zamari juga merupakan seorang daripada Ahli Jawatankuasa Panel Pemeriksa Pematuhan “Patuh Dan Amal Pasca COVID-19” yang telah digerakkan dan pensijilan diberikan oleh Kerajaan Negeri Perak melalui Tourism Perak Berhad pada Julai tahun lepas.
Beliau turut menggesa agar pengusaha produk pelancongan lain seperti ejen, hotel, homestay, kampungstay, restoran, pengangkutan, kompleks membeli-belah dan pengusaha kraftangan supaya mendapatkan pensijilan GPPAC19 supaya sentiasa peka dan setiasa memastikan produk mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
“Selain itu,kawasan pelancongan yang diuruskan oleh kita lebih bersih dan pengunjung akan rasa lebih yakin dan selamat,” katanya.
Produk pelancongan Kellie’s Castle ada keunikan tersendiri kerana bangunan itu sendiri mempunyai beberapa sisi cerita dan sejarah yang berbeza.
Pelancong yang datang untuk menikmati pengalaman di sini bukan sahaja mereka yang ingin tahu tentang sejarah dan seni bina bangunan tetapi ada yang datang juga minat merasai pengalaman paranormal di bangunan berkenaan.
Tidak hairanlah, Kellie’s Castle sudah boleh dikatakan sudah menjadi ikon pelancongan negeri Perak Darul Ridzuan. – Sepatah Dua