June 3, 2023

15 Juta Dos Vaksin Keluaran Johnson & Johnson Didapati Rosak

1 min read

 

Sebanyak kira-kira 15 juta dos vaksin COVID-19 yang dihasilkan oleh syarikat Johnson & Johnson (J&J) didapati rosak di sebuah kilang di Baltimore, Amerika Syarikat (AS), menurut laporan akhbar New York Times.

Menurut agensi berita antarabangsa pada hari Rabu, gergasi perubatan itu berkata, ia telah mengesan satu kumpulan dos di kilang tersebut yang dikendalikan oleh syarikat ubat-ubatan Emergent BioSolutions tidak mengikut piawaian kualiti yang telah ditetapkan.

“Kualiti dan keselamatan adalah menjadi keutamaan kami,” kata syarikat tersebut.

Akhbar itu menyatakan kejadian itu memberikan petunjuk bahawa masalah kawalan kualiti mungkin akan menjejaskan pengeluaran vaksin tersebut.

Pihak Pentadbiran Ubat-Ubatan dan Makanan (FDA) negara itu dijangka melakukan siasatan berhubung kejadian tersebut.

Menurut FDA, ia sedar tentang kejadian itu tetapi enggan memberikan maklumat lanjut kepada AFP.

Bagaimanapun, syarikat J&J menyatakan, ia menghantar lebih ramai pakar untuk memantau semua pengeluaran vaksin buatannya di kilang tersebut bagi membolehkan ia mengeluarkan 24 juta dos pada akhir bulan ini.

Menurut J&J, kilang Emergent BioSolutions itu masih belum diluluskan oleh FDA untuk mengeluarkan vaskin tersebut.

Menurut akhbar The Guardian, pihak kilang Emergent BioSolutions enggan memberikan sebarang komen berhubung kejadian itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *