Amerika Syarikat Tolak Cadangan Perkenalkan Pasport Vaksin COVID-19
1 min read
White House menolak cadangan untuk memperkenalkan dokumen pasport vaksin negara Amerika Syarikat (AS) sebagai dokumen pengesahan untuk mereka yang sudah menerima suntikan vaksin COVID-19.
Langkah itu tidak dilakukan untuk melindungi privasi dan hak rakyat Amerika.
Agensi berita BBC melaporkan, cadangan memperkenalkan pasport vaksin dipertimbangkan di seluruh dunia bagi memudahkan pergerakan individu secara selamat ketika memerangi pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, pengkritik menganggap pengeluaran pasport vaksin itu sebagai satu bentuk diskriminasi.
AS mengatakan negara itu tidak akan menyokong sistem yang menghendaki rakyat mereka membawa sebarang pengesahan.
Negara ini melaporkan lebih 550,000 kematian disebabkan Covid-19 dan lebih 31 juta kes positif iaitu jumlah tertinggi di dunia, menurut Universiti Johns Hopkins.
Ketika berucap kepada wartawan, Setiausaha Akhbar White House, Jen Psaki mengatakan tidak akan ada pangkalan data vaksinasi persekutuan atau mandat persekutuan yang mewajibkan setiap orang mendapatkan satu bukti vaksinasi.
“Kerajaan tidak akan menyokong sistem yang mengharuskan rakyat Amerika membawa pengesahan.
“Keutamaan dari kerajaan persekutuan senang saja, yang mana privasi dan hak orang Amerika harus dilindungi, dan sistem ini tidak akan digunakan terhadap orang secara tidak adil,” katanya.