September 27, 2023

Pak Jenal Gigih Baiki Dan Jual Kipas Terpakai Di Tanjong Karang

2 min read

 

Jika mahu berniaga sendiri dan ada semangat untuk menghidupkannya, tidak ada apa-apa yang akan menghalang walaupun pada usia yang agak berumur.

Seorang lelaki dari Tanjong Karang, Selangor yang berumur 71 tahun dan ada penyakit paru-paru berair, Zainal Abidin Ali tetap bersemangat mengusahakan perniagaan membaiki serta menjual kipas terpakai di Blok Q, Sawah Sempadan, sejak tiga tahun lepas.

Menurut laporan Harian Metro Online, beliau yang dikenali dengan nama timangan Pak Jenal Kipas berkata, dia mula belajar cara membaiki kipas daripada seorang kawan rapatnya di Sungai Sireh pada tahun 2018.

“Disebabkan minat (membaiki kipas) yang mendalam, saya berhenti sebagai pemotong sawit dan fokus kepada bidang itu.

“Biasanya, saya akan pergi ke kedai besi buruk di Tanjong Karang, Kuala Selangor dan Kapar dengan menunggang motosikal bagi mencari kipas rosak dan terpakai,” katanya.

Menurutnya, proses membaiki membaiki kipas akan mengambil masa kira-kira tiga jam dan ada masanya berlarutan sampai tiga hari bergantung pada tahap kerosakan kipas berkenaan.

“Untuk harga pula, setiap kipas yang dijual mengikut saiz dan ia bermula antara harga RM30 hingga RM70. Namun, ia terpulang kepada pembeli untuk membayar dengan seikhlas hati,” katanya.

Menurutnya, doktor mengesahkan dia menghidap penyakit paru-paru berair pada 2019.

“Penyakit (paru-paru berair) ini ujian dari Allah SWT. Saya kena kuatkan semangat untuk meneruskan kehidupan.

“Dalam masa sama, saya perlu menanggung isteri (Sa’diah Mohd Yatim, 53) yang menghidap kencing manis dan kolesterol tinggi,” katanya yang juga bapa kepada empat anak.

BACA JUGA : Mesin Penapis Air Antara Punca Bil Elektrik Rumah Melambung Tinggi – TNB

Kata Zainal Abidin, sehingga kini dia sudah membaiki dan menjual lebih 100 kipas terpakai selain boleh membaiki barangan elektrik seperti mesin basuh, seterika, cerek air dan periuk nasi.

“Alhamdulillah, dengan rezeki baiki kipas dan barangan elektrik lain, ia mampu menampung kehidupan kami berdua seharian.

“Saban hari, saya berdoa kepada Allah SWT supaya terus diberikan kekuatan dan tenaga untuk terus mencari rezeki,” katanya.

1 thought on “Pak Jenal Gigih Baiki Dan Jual Kipas Terpakai Di Tanjong Karang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *