October 3, 2023

Siswazah Baharu Digesa Tidak Bimbang Jika Dibayar Gaji Rendah, Soalnya Adakah Ia Mencukupi?

2 min read

 

Jika anda sebagai seorang graduan yang baru menamatkan pengajian dan sedang mencari pekerjaan, adakah senario ini membimbangkan anda apabila mungkin akan dibayar hanya dengan jumlah gaji minimum iaitu RM1,200.

Apakah sebenarnya jumlah gaji yang anda harapkan?

Menurut laporan BERNAMA, isu pengangguran dan gaji permulaan yang rendah dalam kalangan siswazah yang baru menamatkan pengajian adalah sementara sahaja, demikian menurut Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

Presidennya, Datuk Syed Hussain Syed Husman mengulangi kenyataan oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan bahawa situasi yang tidak menggalakkan berikutan persekitaran ekonomi yang amat mencabar pada masa ini disebabkan COVID-19, akan terkawal tidak lama lagi.

Beliau berkata apabila ekonomi mula pulih dan stabil, tahap gaji permulaan akan kembali kepada kadar pasaran yang kompetitif dan siswazah akan dapat menjangka gaji yang lebih tinggi berdasarkan prestasi dan produktiviti mereka.

“Kami ingin menasihati siswazah untuk tidak terlalu bimbang dengan gaji permulaan yang rendah pada masa ini berikutan majikan menghargai pekerja berdasarkan prestasi yang baik dan produktiviti yang tinggi.

“Apabila pekerja mula memberi sumbangan dan mencatatkan prestasi, mereka akan diberi penghargaan yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata pengalaman bekerja akan menjadikan siswazah itu lebih mudah dipasarkan dan mendapat pekerjaan.

Walau bagaimanapun, ada pula cerita yang mengatakan siswazah yang sudah ada pengalaman juga hanya dibayar gaji minimum sahaja.

Bagi mereka, mula bekerja bukan untuk cuba-cuba tetapi untuk memulakan hidup sendiri berdikari dengan mencari rumah, membeli barang keperluan menggunakan duit sendiri serta membayar kemudahan utiliti menggunakan sumber kewangan sendiri.

Sudah pasti, mereka perlu berkorban banyak dengan hidup dalam keadaan serba kekurangan dengan hanya menyewa bilik kecil untuk belajar memulakan kehidupan.

Bagaimanapun, adakah gaji sebegitu mencukupi atau mereka akan dibebani dengan kemiskinan?

Menurut beliau, Kementerian Sumber Manusia melalui pelbagai agensi termasuk HRDF dan PERKESO telah mengadakan banyak program untuk melengkapkan siswazah yang menganggur dengan kemahiran yang relevan.

“Program ini seperti E-Latih dirangka untuk mendorong pekerjaan dan benar-benar berkesan berikutan industri turut terlibat,” katanya. – Sepatah Dua

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *