“Jika Punya Rezeki Lebih, Berilah Tips Kepada Rider P-Hailing” – Jalaluddin Alias
2 min read
Pelanggan P-Hailing disyorkan tidak terlalu mudah memberi rating rendah atau “bad rating” kepada rider penghantar makanan susulan laporan media berkaitan kematian kemalangan melibatkan penunggang motosikal P-Hailing agak mengejutkan.
Khuatir dengan perkembangan itu, Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata dalam kenyataan kepada Bernama, “Sebab terlalu ingin menjaga rating inilah menjadi punca rider sedikit menggila di atas jalan raya.”
“Jika punya rezeki lebih, berilah tips kepada rider anda. Jika semua orang berkongsi rezeki serba sedikit insyaallah semua orang akan gembira.
“Setiap kali membuat order, selitkan pesanan kepada rider, jangan tergesa-gesa sentiasa berhati-hati di jalan raya. Kita create positive aura untuk rider,” katanya,
yang turut memetik laporan media bahawa hampir dua pertiga (1,684 kes) daripada 2,576 kes kematian penunggang motosikal sepanjang tempoh 9 bulan Perintah Kawalan Pergerakan tahun 2020 adalah melibatkan golongan P-Hailing.
Jalaluddin, yang juga Pengerusi peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan asset UDA Holdings Berhad (UDA), turut menyarankan kepada syarikat pengendali perkhidmatan P-Hailing agar jangan terlalu berkeras dengan rider sendiri dan cari kaedah yang terbaik bagi memastikan rider tidak terlalu tertekan serta tergesa-gesa dalam menyelesaikan penghantaran mereka.
“Kaji semula kaedah rating rider anda. Naikkan sedikit insentif penghantaran rider. Saya percaya para rider yang ada tergesa-gesa untuk menyelesaikan
penghantaran mereka bagi memastikan mereka mencapai sasaran pendapatan harian mereka,” katanya.
Nasihatnya kepada pengunggang P-Hailing, “Sila jaga keselamatan anda di atas jalan raya. Saya faham semua hendak cuba mencari pendapatan sebanyak
mungkin, tapi harus diingat, wang setinggi gunung tidak akan mampu menggantikan nyawa yang telah hilang.
“Jika terkir hendak melanggar peraturan jalan raya, bawa motosikal dengan laju, sentiasa bayangkan wajah ibu, ayah, anak, isteri yang menunggu di rumah,”
katanya.