September 24, 2023

Diskaun 70 Peratus Selama Dua Bulan Bayar Saman JPJ Termasuk Kes Senarai Hitam

1 min read

 

Para pemandu yang ada saman masih tidak berbayar serta kes yang masih dalam tindakan senarai hitam, yang dikenakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) boleh berbuat demikian dengan diskaun sebanyak 70 peratus, bermula 13 April lepas selama dua bulan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata kemudahan diskaun berkenaan adalah sempena ulang tahun ke-75 JPJ, melibatkan 3.5 juta saman aktif yang ada sejak 2010 sehingga bulan lepas.

Beliau berkata pembayaran saman dengan diskaun yang ditetapkan itu boleh dibuat di semua pejabat JPJ dan dalam talian melalui portal rasmi jabatan.

“Saya galakkan bayar saman ini secara dalam talian bagi mengelakkan berlakunya kesesakan di JPJ selain ia kurang memudaratkan,” katanya.

Wee berkata JPJ juga memperkenalkan sistem menunggu giliran secara dalam talian iaitu JPJeQ hari ini bagi mengelakkan 3C (tempat sesak, sempit dan duduk jarak dekat) di semua premis dan kaunter JPJ.

“Aplikasi secara mobile itu membenarkan pelanggan membuat pilihan cawangan JPJ yang tidak ramai pelanggan serta menggunakan kod QR untuk mendapatkan nombor giliran dan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) serta warga emas,” ujarnya.

Bersempena ulang tahun itu juga, JPJ melancarkan siri nombor pendaftaran “FD” bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya yang boleh dibida selama lima hari bermula hari ini melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid).

Wee berkata bidaan nombor pendaftaran itu akan ditutup pukul 10 malam pada Jumaat dan keputusannya diumumkan pada 17 April.

“Siri FD merupakan kesinambungan dari siri “FC” yang menjadi perintis bidaan nombor pendaftaran kenderaan dalam talian iaitu JPJeBid yang kini telah dilaksanakan di seluruh negara,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *