Peniaga Bazar Ramadan Yang Popular Disaran Guna Sistem Nombor Giliran
1 min read
Peniaga bazar Ramadan yang popular dan jadi perhatian pengunjung disarankan menggunakan sistem nombor giliran untuk membolehkan pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dan tidak berkumpul terlalu rapat menunggu makanan mereka siap untuk diambil.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata cadangan itu dibuat supaya kehadiran pelanggan para peniaga popular berkenaan sentiasa mematuhi SOP penjarakan fizikal.
“Bagi gerai terlajak laris ini kita minta jawatankuasa berbincang dengan mereka untuk memperbaiki kepatuhan pelanggan kerana kita lihat lagi ada pelanggan bersesak.
“Pastikan yang ada nombor saja beratur dan bila habis yang ada nombor, baru dibenarkan masuk kerana kita tidak mahu bersesak-sesak dan itu sebenarnya kebimbangan kita,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi Bazar Ramadan Datuk Keramat, semalam.
Annuar berkata, dalam soal kepatuhan SOP, pihaknya mengetengahkan dan menggalakkan orang ramai mengamalkan konsep kendali sendiri patuh sendiri.
“Walaupun kita percaya kepada konsep kendiri, kita kena ada juga peringatan dan di sesetengah tempat, mungkin boleh menggunakan sistem pembesar suara untuk beri peringatan,” katanya.
Katanya, penutupan bazar Ramadan akan menjadi pilihan terakhir akan diambil jika kes jangkitan COVID-19 di Wilayah Persekutuan meningkat dengan mendadak.
“Kalau boleh kita mahu menggalakkan semuanya berniaga sehingga habis Ramadan. Oleh itu, kita perlu sama-sama patuh SOP dan mendoakan supaya tiada kes jangkitan membabitkan bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan,” katanya.
1 thought on “Peniaga Bazar Ramadan Yang Popular Disaran Guna Sistem Nombor Giliran”