May 14, 2021

SepatahDua.My

PORTAL Santai, Santap dan Semasa

Tips Kekal Bertenaga Ketika Berpuasa Adalah Jangan ‘Skip’ Sahur

2 min read

 

Berpuasa pada bulan Ramadan pastinya akan membuatkan badan mudah lesu, lapar dan mengantuk, namun ia bukanlah alasan untuk tidak kekal cergas dan enggan melakukan senaman seperti kelaziman.

Atas faktor itu, soal pemilihan makanan berkhasiat amat penting agar tubuh memperoleh semua nutrien yang diperlukan, sekali gus membantu mengekalkan kecergasan sepanjang tempoh berpuasa.

Menurut Profesor Pusat Nutrisi dan Dietetik di Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Suzana Shahar berkata bersahur amat penting membantu menambah tenaga ketika berpuasa serta memastikan badan kekal bertenaga sepanjang hari.

Menurutnya, amalan bersahur dengan makan makanan karbohidrat yang berasaskan slow release carbohydrate iaitu karbohidrat diambil tetapi gulanya akan dibebaskan untuk menjadi tenaga seterusnya berfungsi sebagai bekalan ketika berpuasa dan akan ‘dilepaskan’ secara perlahan-lahan.

“Kita digalakkan untuk mengambil makanan berasaskan karbohidrat kompleks seperti nasi, roti atau biskut mil penuh dan oat kerana ia memerlukan masa lama untuk dicerna dan mengurangkan rasa lapar.

“Ia juga perlu diikuti dengan makanan daripada protein yang akan membantu memberikan rasa kenyang lebih lama serta sayur-sayuran dan buah-buahan yang akan memberikan fiber atau serat kerana ia melambatkan penghadaman,” katanya kepada Bernama.

Jelasnya, membudayakan diet seimbang ketika bersahur akan membuat seseorang itu kekal bertenaga sepanjang kira-kira 14 jam tempoh berpuasa.

Selain itu, Suzana yang juga Dekan Fakulti Sains Kesihatan UKM berkata pengambilan air kosong juga perlu mencukupi memandangkan tubuh akan hilang cecair sepanjang tempoh berpuasa dan ia seharusnya bermula dari saat berbuka puasa hingga tibanya waktu imsak.

“Minum air juga kena banyak atau cukup lapan gelas sehari daripada buka puasa sampai sahur keesokan harinya dan elakkan minuman berkafein serta makanan tinggi garam kerana ia akan mempercepatkan proses kehilangan cecair dalam tubuh,” katanya.

Sementara itu jurulatih Kecergasan Mohd Arif Afifi Mohamad Sukri, 29, berkata berpuasa tidak sepatutnya dijadikan sebagai halangan untuk melakukan aktiviti fizikal seperti senaman intensiti rendah seperti berjalan pantas atau brisk walk, berlari perlahan-lahan (slow jog) atau turun naik tangga.

Namun, katanya ia perlu dilakukan mengikut kemampuan diri demi mengelak kejadian tidak diingini seperti dehidrasi atau pitam selain dapat mengekalkan stamina serta kecergasan tubuh badan.

“Waktu yang terbaik untuk bersenam adalah sekitar 30 minit sehingga sejam sebelum tiba waktu berbuka puasa kerana cecair yang hilang di dalam badan dapat diganti semula sejurus selepas berbuka,” katanya.

Bagi penyanyi popular tanah air, Muhammad Alif Mohd Satar, 31, atau lebih dikenali sebagai Alif Satar, beliau banyak melakukan senaman intensiti rendah seperti plank dan push up selepas solat tarawih bagi mengekalkan kecergasan selain minum air kosong yang banyak bagi mengelakkan dehidrasi.

“Bagaimanapun latihan kardio seperti berbasikal dan berlari saya hentikan sementara, kerana waktu ini kita kurang makan menyebabkan kita tidak banyak melakukan pembakaran kalori,” katanya yang merupakan pelantun bagi lagu Jangan Nakal.

Alif yang sebelum ini berjaya menamatkan Kejohanan Ironman Langkawi 2019 dalam tempoh 15 jam turut mengamalkan pola pemakanan dengan makan secara lebih kerap dalam kuantiti yang sedikit selepas berbuka. — BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *