Sebanyak 4,800 Botol Jamu Tak Ada Kelulusan KKM Dirampas
1 min read
Pegawai Pemerintah Medan PGA7 Supt Azhari Nusi - Gambar BERNAMA
Batalion ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) berjaya merampas sebanyak 4,800 botol produk jamu bernilai RM432,000 dalam serbuan di sebuah rumah kedai dekat Bandar Tasek Raja, Pasir Mas, Kelantan petang semalam.
Difahamkan, rampasan oleh sepasukan “Strike Force” PGA7 itu dilakukan selepas pemeriksaan mendapati kesemua barangan tidak mempunyai kelulusan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).
Pegawai Pemerintah Medan PGA7 Supritendan Azhari Nusi berkata, serbuan dilakukan pada pukul 1 tengah hari selepas pihaknya menerima maklumat berkaitan sebuah stor penyimpanan barang tanpa kelulusan.
Beliau berkata, ketika tiba di rumah kedai dua tingkat tersebut, terdapat seorang lelaki berumur 29 tahun dipercayai pekerja di situ.
“Pemeriksaan yang dilakukan di dalam rumah kedai itu menemui sebanyak 4,800 botol jamu berjenama. Setiap botol jamu dianggarkan bernilai RM90,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut Azhari berkata, pekerja lelaki yang juga penduduk tempatan itu gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah dan kelulusan daripada KKM berkaitan produk yang disimpan di situ.
Katanya, hasil semakan dengan KKM mendapati produk terbabit tiada sebarang permohonan kelulusan bagi menyatakan ia selamat digunakan.
“Pihak KKM juga memohon bantuan PGA7 untuk merampas produk ini untuk tindakan selanjutnya kerana kebimbangan terdapat banyak barangan kosmetik di pasaran yang tidak mempunyai kelulusan serta memudaratkan kesihatan pengguna yang menggunakannya.
“Justeru, pihak kami menahan lelaki terbabit mengikut peruntukan di bawah Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) serta merampas barangan itu sebelum dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan dan siasatan lanjut oleh pihak berkaitan mengikut Peraturan 7 (1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya.