September 27, 2023

Di India, Polis Rampas Tangki Oksigen Untuk Diberikan Kepada Golongan VVIP

1 min read

Video seorang lelaki bernama Ansh Goyal merayu kepada pihak polis supaya tidak merampas tangki oksigen yang sepatutunya digunakan untuk merawat ibunya di sebuah hospital di Agra. - Sumber Youtube

 

Ibu seorang remaja lelaki di Agra, India meninggal dunia selepas tangki oksigen untuk rawatan COVID-19 yang digunakan ibunya dirampas oleh polis yang kemudiannya diberikan kepada orang kenamaan untuk digunakan.

Remaja berusia 17 tahun itu berkata ketika kejadian dia sedang menjaga ibunya yang kritikal akibat COVID-19.

Namun tidak lama kemudian, beberapa anggota polis masuk ke bilik wad dan merampas silinder oksigen yang digunakan bagi merawat ibunya.

Video remaja lelaki itu yang dikenali sebagai Ansh Goyal merayu kepada pihak polis tular di media sosial menunjukkan rayuannya tidak diendahkan pihak polis.

“Di mana saya nak cari silinder? Saya datang (ke hospital) selepas berjanji kepada keluarga bahawa saya akan bawa pulang ibu dengan selamat.

“Ibu saya tidak dapat bernafas. Kami beri dia CPR beberapa kali, tetapi tidak dapat menyelamatkannya,” kata Ansh kepada Times of India.

Ibu Ansh Goyal meninggal dunia dua jam kemudian.

Polis dalam satu kenyataan berkata sedang menyiasat kes berkenaan.

Mereka bagaimanapun menolak tuduhan tersebut dan mendakwa silinder berkenaan kosong.

“Lelaki itu meminta polis untuk memberikannya silinder oksigen untuk rawatan ahli keluarganya.

“Tiada siapa yang merampas tangki silinder itu.

“Video itu mengelirukan,” kata Superintendan Polis Botre Rohan Pramod.

Namun dia tidak menjelaskan mengapa polis perlu mengambil tangki oksigen yang kosong.

Sementara itu, Ketua Pengarah Polis Tambahan (ADG) Rajiv Krishna berkata tindakan tegas akan diambil jika anggota polis terbabit terbukti bersalah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *