June 3, 2023

Nuzul al-Quran : Wanita 72 Tahun Khatam Al-Quran, Baca Menggunakan Kanta Pembesar

2 min read

Rokiah Arshad, 72 tahun, teliti membaca Al-Quran menggunakan kanta pembesar kerana masalah penglihatan dan beliau berjaya khatam sempena Nuzul al-Quran semalam. - Foto Harian Metro

 

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Peribahasa itu amat biasa digunakan apabila ada manusia yang dilihat begitu bersungguh-sungguh melakukan sesuatu biarpun dibebani dengan pelbagai kekurangan.

Seorang wanita warga emas, Rokiah Arshad, 72 tahun, yang mempunyai masalah penglihatan berjaya khatam Al-Quran sempena sambutan Nurul al-Quran semalam apabila beliau membaca kitab suci itu menggunakan kanta pembesar.

Beliau merupakan seorang daripada 120 orang peserta program Jom Celik Al-Quran anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Institut Pengajian Al-Quran (IPAQ), yang diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran di Masjid Wilayah Persekutuan di sini.

Nenek kepada 13 cucu itu berkata program tersebut banyak membantunya mempelajari ilmu agama serta memperbaiki teknik membaca kitab suci itu walaupun terpaksa menggunakan kanta pembesar akibat masalah selaput mata yang mengehadkan penglihatannya.

“Nenek sangat seronok, bertuah dapat khatam al-Quran hari ini dan tidak ada rasa segan dalam usia begini untuk terus mencari ilmu dan membaca al-Quran.

“Memang perlu guna kanta pembesar setiap kali membaca (al-Quran), tapi tidaklah terlalu sukar… cikgu yang mengajar banyak membantu nenek,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MAIWP Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata program tersebut dilaksanakan khusus bagi golongan asnaf yang buta al-Quran dan merupakan antara inisiatif ke arah menjadikan program agihan zakat MAIWP sebagai program berimpak tinggi.

MENARIK – Lelaki Ini Ada Ilmu Hebat Memancing, Hasil Tangkapannya Selalu Bikin Geram

Beliau berkata MAIWP mahu memastikan bahawa golongan asnaf itu bukan hanya dibantu dalam bentuk material dan kewangan, malah turut disantuni dari aspek rohani.

“Program ini satu kejayaan kerana kami berjaya mengajar mereka sehingga khatam dalam tempoh 17 hari (bermula 18 Julai 2020) dan majlis khatam al-Quran ini sepatutnya diadakan tahun lepas, namun tertangguh susulan penularan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata program itu akan diteruskan pada masa hadapan dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 120 peserta berjaya khatam al-Quran setiap tahun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *