Penerbangan Masuk Ke Malaysia Dari India Hanya Bawa Kargo Dan Tiada Penumpang
2 min read
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong.
Kesemua penerbangan pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB) dari India masuk ke Malaysia adalah penerbangan yang membawa barangan dan bukannya membawa masuk penumpang, menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong.
Menurut beliau, tindakan itu selari dengan arahan kerajaan selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), berkuatkuasa 28 April lalu, semua penerbangan penumpang dari dan ke negara India dilarang masuk ke negara ini.
“Hanya penerbangan kargo yang akan dibenarkan pada masa ini. Penerbangan pesawat penumpang juga kosong dan digunakan untuk membawa muatan yang kebanyakannya adalah barangan farmasi, ubat-ubatan, telefon bimbit, komponen elektrik dan bungkusan kurier,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Ka Siong berkata demikian sebagai mengulas dakwaan MAB kelihatan memasuki Malaysia dari India seperti mana yang tular di media sosial baru-baru ini.
Ramai netizen melalui laman sosial Facebook mempersoalkan jadual penerbangan masuk ke dalam negara yang dilihat banyak datang dari India.
MENARIK : ‘Cucuk Vaksin COVID-19 Tak Sakit’ – Ratu Elizabeth II
Dalam perkembangan berkaitan, kata Ka Siong, untuk mengubah penerbangan penumpang kepada kargo bukan sesuatu yang baharu dan dipraktikkan MAB sebelum ini susulan berlakunya pandemik COVID-19.
“CAAM (Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia), MAS Kargo di bawah kendalian MAB dan Suruhanjaya Penerbangan Awam (Mavcom) juga telah mengesahkan fakta ini.
“Semakan dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga mengesahkan bahawa kes seorang pemegang pas pekerja asing warga India yang memasuki Malaysia adalah berlaku lebih awal iaitu pada 10 April.
“Pelancong bukan Malaysia dari India tidak dibenarkan memasuki atau transit di Malaysia pada masa ini. Bagaimanapun, pengecualian akan dibuat untuk warganegara Malaysia yang memasuki Malaysia dari India tanpa melalui imigresen dan kastam,” katanya.
Sementara itu, Ka Siong berkata, pekerja asing yang memegang pas pekerja sementara, pekerja perniagaan dan pelajar antarabangsa dari India turut dikenakan sekatan sama berkuatkuasa 28 April.
Manakala, pelajar dan pekerja warga Malaysia, ahli keluarga mereka dan pasangan bukan rakyat Malaysia yang kembali ke Malaysia dari India dibenarkan tetapi perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di pusat kuarantin ditetapkan, katanya.
Sebelum ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan menyekat penerbangan keluar masuk dari India ke negara ini bagi mencegah kemasukan varian baharu COVID-19 dari negara itu berkuat kuasa Rabu lalu.