June 1, 2023

COVID-19 : Bila Agaknya Kita Boleh Rentas Negeri Semula?

3 min read

EKORAN kes jangkitan COVID-19 baharu baru-baru ini turun naik di antara 2,000 ke 3,000 kes sehari situasi pandemik di Malaysia dilihat semakin teruk dan semakin tidak dapat dijangka.

Dengan Program Imunisasi COVID-19 sedang berjalan walaupun dilihat agak perlahan, negara pada satu masa nanti pasti akan pulih dan keluar dari belenggu pandemik ini.

Dengan sasaran ia akan berakhir pada Februari tahun depan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin pada Februari lepas berkata program berkenaan dijangka dapat diselesaikan sebelum akhir tahun ini.

Sebagai rakyat Malaysia, masing-masing ada peranan besar untuk bersama menghadapi pandemik ini dengan menjaga kebersihan, mematuhi SOP dan mengambil vaksin supaya negara kita boleh bebas COVID-19 dengan lebih cepat lagi

Jika diperhatikan dari perkembangan program berkenaan dari semasa ke semasa, boleh dikatakan ia agak sukar untuk dicapai malah ia mungkin selesai lebih lewat dari jangkaan.

Berpandukan situasi ini, banyak pihak serta orang ramai sudah tidak boleh membuat jangkaan bilakah masalah ini akan berakhir.

Di media sosial, sejak akhir-akhir ini, keadaan sentiasa panas dengan rasa tidak puas hati orang ramai dengan larangan merentas negeri yang membuatkan orang ramai tidak dapat kembali ke kampung dan berjumpa dengan ibu bapa.

BACA JUGA :  Paru-Paru Anda Akan Enjoy Tarik Nafas Segar Menginap Di Paddystay Chalet, Sungai Besar

Kali terakhir rakyat Malaysia dibenarkan merentas negeri ialah pada 7 Disember 2020 apabila kebenaran itu diumumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selepas itu kes jangkitan meningkat semula dan masuk ke tahun 2021, laragan rentas negeri dikuatkuasakan semula.

Semalam, Ismail Sabri mengumumkan pula bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kembali di negeri Selangor melibatkan enam daerah. Dengan itu, maka sudah pastilah sudah dua tahun rakyat negara ini yang beragama Islam tidak dapat pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri kerana tidak dibenarkan merentas negeri.

Sebenarnya, bila agaknya kita semua boleh kembali merentas negeri? Secara hakikatnya, tidak ramai yang boleh membuat jangkaan.

Pada 26 Februari 2021, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kelonggaran rentas negeri akan dipertimbangkan selepas Malaysia mencapai paras imuniti kelompok dengan sasaran 70 hingga 80 peratus rakyat Malaysia sudah menerima suntikan vaksin.

“Justeru dalam tempoh enam hingga sembilan bulan ini, kita menggunakan dua strategi iaitu kesihatan awam dan pemberian vaksin Covid-19. Kita seiringkan supaya mencapai sasaran 70 hingga 80 peratus rakyat diberikan vaksin.

“Selepas itu, mungkin rentas negeri boleh dipertimbangkan. Kita guna dua strategi ini sehinggalah negara mencapai imuniti kelompok,” katanya pada sesi libat urus darurat Covid-19 Siri 4/2021: Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19.

Jika disesuaikan dengan kenyataan Khairy dan Dr Noor Hisham, nampak gayanya kita tidak akan dapat merentas negeri pada tahun ini.

Selain itu, keadaan di media sosial juga sering tegang ekoran tindakan beberapa kumpulan selebriti yang mencetuskan kontroversi seperti merentas negeri tanpa kebenaran atau mengadakan majlis keramaian yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Macam mana rakyat tidak marah, sudah lah tidak boleh balik kampung, beberapa golongan artis nampak suka hati ke sana ke mari tanpa kebenaran dan mematuhi SOP.

Sejak dua tiga minggu lepas, tiga selebriti hangat dikritik di media sosial iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ustaz Azhar Idrus dan Neelofa. Paling kontroversi ialah kes Neelofa bersama suaminya PU Riz dilihat dua kali merentas negeri tanpa kebenaran. Kali pertama ke Langkawi dan kali kedua ke Nilai, Negeri Sembilan.

Sebagai rakyat Malaysia, masing-masing ada peranan besar untuk bersama menghadapi pandemik ini dengan menjaga kebersihan, mematuhi SOP dan mengambil vaksin supaya negara kita boleh bebas COVID-19 dengan lebih cepat lagi.

Letak tepi kemarahan dan rasa tidak puas hati sebaliknya, jaga diri dan keluarga supaya keadaan kembali normal dan kita boleh merentas negeri bertemu ahli keluarga kita semula.SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *