September 26, 2023

Orang Ramai Mula Resah, Bila Mereka Akan Dapat Suntikan Vaksin

2 min read

 

JUMLAH pendaftaran orang ramai untuk mendapatkan vaksin COVID-19 setakat 3 Mei 2021 sudah mencecah 9,756,343 orang dengan negeri Selangor merekodkan pendaftaran tertinggi iaitu lebih 2 juta orang. Manakala, jumlah mereka yang sudah menerima vaksin ialah 1,520,010 orang pada tarikh yang sama.

Daripada jumlah itu, 930,059 orang sudah menerima dos pertama dan 589,951 orang sudah melengkapkan kedua-dua dos.

SETIAP hari jumlah mereka yang dijangkiti COVID-19 pula lebih daripada 2,000 orang sejak beberapa minggu ini. Ada harinya cecah lebih 3,000.

Keadaannya memang nampak cemas. Katil di hospital semakin berkurang dan peralatan perubatan terjejas teruk. Petugas barisan hadapan dah bekerja tanpa henti lebih setahun.

Rakyat pun naik resah. Kerajaan kata daftar untuk dapatkan vaksin. Rakyat dah daftar. Tapi vaksinnya seperti tak nampak di mana, jadi apabila Khairy Jamaluddin umum ada sejumlah dos vaksin AstraZeneca ditawarkan kepada rakyat, berebut-rebut orang daftar.

Khabarnya dalam masa empat jam dah habis dipohon. Mereka semua tahu cerita pasal kesan sampingan vaksin itu. Tapi bukan AstraZeneca sahaja, semua vaksin ada kesan sampingan bergantung pada penerima. Tapi bahaya kesan samping lebih kecil berbanding bahaya tiada perlindungan vaksin langsung. Yang daftar banyak orang muda. Orang tua dan yang berisiko tinggi masih tunggu ‘giliran’ entah bila.

Hari ini akan bermula sesi pemberian dos vaksin jenis AstraZeneca kepadamereka yang sudah berjaya mendaftar dengan jumlah keseluruhan ialah 268,000 dos.

Di media sosial, netizen pula sudah mula tidak puas hati khususnya orang dewasa tentang bila mereka akan mendapat kemaskini tentang temujanji vaksinasi mereka. Mereka bimbang, mereka akan lambat mendapatkan suntikan berkenaan.

Sebenarnya, kerajaan sedang berikhtiar untuk melengkapkan program vaksinasi ini dengan lancar supaya keadaan dalam negara adalah terkawal daripada jangkitan baharu COVID-19. Kerajaan juga mahu keadaan menjadi seperti sediakala kerana kegiatan ekonomi boleh berfungsi kembali sepenuhnya dan pelabur akan kembali masuk.

Bagaimanapun, beban kerajaan kini amat berat memandangkan ini kali pertama Malaysia berdepan dengan pandemik seperti ini yang turut menjejaskan seluruh dunia.

Pada akhirnya nanti, orang ramai perlu kawal emosi, bertenang, sabar untuk menunggu giliran mereka untuk mendapatkan vaksin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *