June 19, 2021

SepatahDua.My

"KITA SENTIASA BERSAMA WARGA PALESTIN"

PKP Dilaksanakan Sekali Lagi Di Seluruh Negara, Bermula Esok

2 min read

 

Sekali lagi buat kali ketiga, kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara berserta dengan larangan baharu sambutan Aidilfitri bermula esok.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam satu kenyataan berkata, bagi tempoh PKP itu, semua sektor ekonomi dibenarkan untuk beroperasi.

Katanya, tarikh kuat kuasa larangan rentas daerah dan negeri serta larangan aktiviti sosial, sukan dan pendidikan adalah bermula pada 10 Mei hingga 6 Jun 2021 seperti yang diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Mei lalu.

“Tarikh kuat kuasa bagi larangan-larangan dan arahan-arahan lain bermula pada 12 Mei hingga 7 Jun 2021. SOP terperinci bagi semua larangan dan arahan dalam Perintah Kawalan Pergerakan ini akan diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya semalam.

Perdana Menteri menegaskan, Malaysia sedang berhadapan dengan gelombang ketiga COVID-19 yang boleh mencetuskan satu krisis nasional.

Katanya, kewujudan varian-varian baharu dengan kadar jangkitan lebih tinggi, kekangan ke atas kapasiti sistem kesihatan awam yang semakin meruncing dan kelemahan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan sebahagian anggota masyarakat menuntut tindakan lebih drastik.

Muhyiddin berkata, tindakan sedemikian perlu bagi mengelakkan negara terjerumus ke dalam malapetaka kesihatan yang lebih parah.

“Dengan jumlah kes harian melebihi 4,000 kes dan 37,396 kes aktif dengan 1,700 kes kematian dilaporkan setakat 10 Mei lalu, Malaysia sedang berhadapan dengan gelombang ketiga COVID-19 yang boleh mencetuskan suatu krisis nasional.

“Data dan sains terus menunjukkan bahawa aktiviti-aktiviti perhimpunan yang menyukarkan penjarakan sosial dan keberadaan orang ramai dalam ruang yang sesak menjadi punca utama penularan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan trend kes-kes harian COVID-19 yang semakin meningkat itu, kerajaan memutuskan untuk mengambil langkah lebih tegas dan ketat bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dalam masyarakat dan menghalang kenaikan kes secara mendadak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *