September 26, 2023

DARI MATA KITA : Kerajaan Perlu Beri Perhatian Pada Tekanan Mental Yang Semakin Menekan Orang Ramai

2 min read

Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Stadium Malawati Shah Alam menerima ribuan orang yang disahkan positif untuk dinilai keadaan mereka. Beratur di sini pun sudah boleh buat orang ramai tertekan.

 

Kerajaan mungkin boleh mula memikirkan langkah untuk menstabilkan emosi rakyat yang dilihat semakin marah dan tertekan sejak kebelakangan ini pada masa sama jumlah jangkitan kes baharu untuk COVID-19 semakin meningkat.

Ada dua hari kebelakangan ini kes jangkitan mencecah lebih 4,000 kes sehari dan negeri Selangor merekodkan jumlah tertinggi kes di seluruh negara.

Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan juga, menyebabkan ramai yang kembali hilang punca pendapatan selepas perniagaan atau pencarian rezeki mereka terjejas kerana tidak boleh ke mana-mana.

Luahan tidak puas hati yang dapat dilihat dengan jelas di laman media sosial kerajaan juga perlu diambil kira kerana di situlah tempat orang ramai menyatakan apa yang mereka rasa dengan mudah berbanding perlu menelefon atau pergi ke pejabat kerajaan membuat aduan.

Walaupun, kerajaan menyatakan cara mereka memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19 tidak gagal namun jumlah kes yang meningkat semasa negara dalam tempoh Proklamasi Darurat juga jelas menunjukkan ada unsur kegagalan dalam usaha itu.

Selain melaksanakan PKP pelbagai peringkat, kerajaan kini perlu mencari jalan bagaimana untuk memberikan jaminan serta keyakinan kepada rakyat bahawa krisis pandemik ini akan pulih supaya mereka kembali tenang dan memberikan ruang untuk kerajaan menghapuskan COVID-19.

Buka satu ruang seperti platform panggilan telefon yang konsisten untuk rakyat mendapatkan khidmat nasihat tentang keadaan pandemik serta apa yang perlu dilakukan. Paling utama, kerajaan perlu menyediakan platform untuk memberikan kaunseling supaya tekanan yang dihadapi rakyat tidak berubah menjadi masalah mental yang serius.

Selain itu, kerajaan perlu melihat bagaimana pusat panggilan untuk rakyat bertanyakan pelbagai masalah seakan-akan tidak diberikan perhatian khususnya talian telefon berkaitan bantuan seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Orang ramai perlu menunggu lama dan kesudahannya panggilan tidak dijawab.

Susulan berita bahawa Hospital Sungai Buloh telah mula menyediakan kontena khas untuk menyimpan mayat COVID-19, ia satu petunjuk jelas bahawa wabak itu sudah semakin teruk kesannya di Malaysia.

Langkah melenyapkan wabak bukan seharusnya tertumpu kepada kawalan ke atas pergerakan atau pelaksanaan SOP semata-semata, kemampuan dan kesediaan rakyat juga perlu diberi perhatian.

Bagaimana mereka hendak patuhi SOP dan tidak ke mana-mana apabila usaha mereka untuk mencari rezeki sudah terjejas. Ramai yang berpendapat bahawa kita terpaksa berdepan lebih lama lagi dengan PKP yang silih berganti tanpa ada jaminan bila ia akan berakhir. – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *