December 9, 2023

Rentas Daerah Untuk Jumpa Teman Wanita, Lelaki Dikompaun RM5,000

1 min read

Perbuatan seorang lelaki merentas daerah dari Jitra ke Alor Setar di Kedah semata-mata untuk menghabiskan masa dengan teman wanitanya mengakibatkan dia dikenakan kompaun RM5,000.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, lelaki itu berusia 30 tahun ditahan Pasukan Pemantau COVID-19 yang turut beliau sertai. Pasukan itu membuat rondaan di pemantauan di Jalan Limbong Kapal di Alor Setar semalam.

Beliau berkata, ketika itu anggotanya menahan sebuah kereta Proton Preve yang dipandu lelaki berkenaan bersama rakan wanitanya di lokasi terbabit.

“Hasil semakan mendapati pemandu kenderaan itu iaitu mengaku datang dari Jitra untuk keluar bersiar-siar bersama rakan wanita berkenaan.

“Namun, semakan lanjut pula mendapati rakan wanitanya yang berusia 30 tahun beralamat di Alor Setar,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Shukri berkata, pihaknya mengeluarkan kompaun terhadap lelaki itu kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran rentas daerah yang sah daripada polis untuk memasuki daerah ini semasa tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, kompaun dikeluarkan atas kesalahan mengikut Perkara 4 dan 5 Peraturan Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Kawalan Pergerakan) (No 4) (Pindaan) (No 15) 2021).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *