DARI MATA KITA : Bukan Virus Sahaja Bermutasi, Minda Orang Pun Makin Bijak Cuba Langgar SOP
3 min read
Beginilah prosedur pengurusan jenazah yang meninggal dunia akibat COVID-19. Jika di Hospital Sungai Buloh, ia akan dikendalikan oleh Jabatan Perubatan Forensik hospital tersebut. Foto Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Anda sudah tonton rancangan tentang COVID-19 Majalah 3 edisi khas bertajuk “Kita Masih Belum Menang?” Ramai yang menangis? Video siaran Majalah 3 berkenaan ada di bawah.
Anda semua pasti sudah tahu bahawa jumlah kes baharu jangkitan COVID-19 kini berubah-ubah antara 4,000 dan 3,000 kes sehari. Sesekali ia turun ke 2,000 kes sehari. Jangkitan meningkat setiap hari dan sistem kesihatan negara juga semakin lama semakin lumpuh.
Satu perkara jangan dilupa, bukan sahaja virus ini berkembang menjadi lebih ganas tetapi minda manusia juga boleh berkembang menjadi lebih pandai serta bijak.
Dalam kalangan komuniti kita sekarang ini, ada kelompok yang patuh dan ikut SOP yang ditetapkan, ada yang asyik menyalahkan kerajaan dan ada yang asyik cari helah bagaimana untuk buat sesuatu yang langgar SOP tanpa diketahui kerana tidak boleh tinggalkan tabiat normal iaitu hendak ke sana ke sini.
Maksudnya, ramai dah jadi pembawa senyap. Dijangkiti virus tapi tiada gejala tetapi boleh menjangkiti orang lain.
Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dulu pada bulan Mac, 2020. Masa itu, banyak sektor ekonomi ditutup dan rakyat secara majoriti akur dan duduk di rumah. Tak ke mana-mana. Selepas itu, keadaan reda sekejap dan kes jadi 1 angka, rentas negeri dibenarkan.
Sekarang, jangkitan kes sudah kembali tinggi. PKP sudah dilaksanakan semula di seluruh negara tetapi kenapa kes boleh meningkat? Sebabnya, minda manusia berkembang dek segelintir manusia yang cuba berfikir cari jalan untuk buat perkara biasa tanpa hirau SOP sampai kemudian menjangkiti orang lain.
Jemaah masjid dan surau yang ditutup tak usahlah cuba cari jalan bagaimana untuk solat juga di sana. Ada yang tutup lampu, solat dalam gelap. Ada yang sorok selipar jemaah elak pihak berkuasa nampak. Ada yang solat tidak pakai mikrofon untuk elak dikesan. Hasilnya ada di beberapa negeri, kluster jemaah surau solat terawih dan berbuka puasa dah muncul. Ratusan yang dikesan positif.
Boleh bersolat di rumah, tak ada salahnya. Berjemaah lah dengan ahli keluarga. Jangan guna akal dan minda yang bijak cari jalan langgar SOP sampai orang lain yang kena tanggung akibatnya. Kalau kena pada ahli keluarga sendiri sampai mereka meninggal dunia, baru hendak menyesal.
Kerajaan buat SOP tak boleh rentas negeri dan daerah, ikutlah. Janganlah guna akal bijak itu berkembang untuk cari jalan supaya boleh juga rentas daerah dan negeri. Sepanjang berpuluh tahun lalu boleh balik kampung, dua tahun tahun tak boleh balik beraya, berkorbanlah.
Ya, faham rindu pada ibu bapa. Tapi tak ada alasan yang boleh diberikan selain mesti duduk di rumah dan jangan rentas daerah dan negeri. Ada yang palsukan surat kebenaran polis, ada yang cuba cari jalan tikus untuk elak Sekatan Jalan Raya (SJR), ada kes yang menyorok dalam but kereta. Tak dinafikan, ada yang mencuba dan mungkin terlepas SJR kerana polis pada masa itu memberikan laluan.

Bagaimanapun, akibatnya ramai warga emas kita dah dijangkiti dan ada yang meninggal dunia akibat dijangkiti ahli keluarga terdekat yang cari jalan juga hendak rentas negeri.
Mesti diingat lagi, sebelum ini Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pernah kata virus SARS-COV2 atau COVID-19 ini sudah ada dalam masyarakat serta ia susah untuk dikawal.
Maksudnya, ramai dah jadi pembawa senyap. Dijangkiti virus tapi tiada gejala tetapi boleh menjangkiti orang lain.
Walaupun anda bijak, tapi gunakanlah kebijaksanaan itu untuk cari jalan bagaimana untuk patuhi SOP dengan baik dan bukannya cari jalan bagaimana untuk buat sesuatu tanpa pedulikan SOP. Duduklah di rumah dan jangan ke mana-mana. Kalau keluar, pastikan ia untuk satu sebab yang perlu dan bukannya sekadar mahu keluar saja-saja.
“KITA MASIH JAUH UNTUK MENANG” – SEPATAH DUA