June 19, 2021

SepatahDua.My

"KITA SENTIASA BERSAMA WARGA PALESTIN"

Penduduk Mukim PKPD Di Kuala Terengganu Senyap-Senyap Alih Penghadang Jalan Alternatif

1 min read

 

Baru masuk hari ketiga Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 21 buah mukim di Kuala Terengganu, sudah ada orang yang buat ikut kepala sendiri dan mengalihkan konkrit serta penghadang jalan yang dipasang di laluan alternatif.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Abdul Rahim Md berkata, setakat ini pihaknya mengesan tiga laluan telah diceroboh penduduk untuk merentasi halangan berkenaan.

Menurut beliau, ia melibatkan laluan susur keluar Kampung Jeram yang bersempadan antara daerah Kuala Terengganu – Kuala Nerus, Kampung Tiruk sempadan daerah Hulu Terengganu dan Jalan Surau Haji Yaacob sempadan daerah Marang.

“Kita percaya mereka mengalihkan batu-batu ini untuk keluar daripada kawasan daerah Kuala Terengganu ke daerah Kuala Nerus, dipercayai mereka ini menggunakan kenderaan motorsikal kerana batu yang dialihkan itu boleh muat untuk laluan motorsikal,” katanya.

Abdul Rahim berkata, polis sudah membuka satu kertas siasatan kerana perbuatan khianat dengan merosakkan batu halangan yang dipasang di susur keluar di Kampung Jeram, Manir.

Justeru itu, pihaknya sedang giat mengesan dan tidak akan berkompromi dengan individu yang melakukan perbuatan itu.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 kerana melakukan khianat. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata sebanyak sembilan sekatan jalan raya (SJR) telah dibina di laluan-laluan utama di bandar raya itu bagi mengawal pergerakan penduduk di 21 mukim terlibat.

Selain itu, pihaknya turut menutup 10 laluan alternatif termasuk laluan tikus ke Kuala Terengganu bagi memastikan tiada pergerakan keluar masuk orang ramai ke kawasan itu tanpa kebenaran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *