China Pertahan Tindakannya Ekoran 16 Pesawat Tenteranya Ceroboh Ruang Udara Malaysia
1 min read
Gambar sebuah pesawat antara 16 yang lain yang dipintas oleh jet pejuang Hawk 208 TUDM kerana didakwa menceroboh ruang udara Malaysia.
Negara China hari ini mempertahankan tindakannya selepas 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) dipintas pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kerana menceroboh ruang udara Malaysia.
Jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin berkata pesawat terbabit tidak memasuki ruang udara Malaysia, sebaliknya ia merupakan rutin latihan.
Jelasnya, apa yang dilakukan China adalah mematuhi undang-undang antarabangsa.
“Berdasarkan maklumat diperolehi, ia adalah rutin latihan biasa yang dilakukan tentera udara China di perairan selatan atau Kepulauan Spratly, tidak menyasarkan mana-mana negara.
“Sewaktu latihan itu, tentera udara China patuh kepada peruntukan undang-undang antarabangsa dan tidak memasuki mana-mana ruang udara negara lain.

“China telah mengadakan perbincangan dengan pihak Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein memaklumkan Malaysia akan mengemukakan nota bantahan diplomatik kepada China berhubung 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) yang menceroboh ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM) dan menghampiri ruang udara nasional, pada Selasa.
Beliau menyifatkan tindakan 16 pesawat PLAAF itu sebagai ‘pencerobohan ruang udara dan kedaulatan Malaysia’.
Sehubungan itu, beliau berkata, Kementerian Luar akan memanggil Duta Besar China ke Malaysia untuk mendapatkan penjelasan berhubung pencerobohan itu. – SEPATAH DUA