Geng Aqil Pecah Kedai Dan Bengkel Di Sungai Buloh Ditumpaskan Polis
2 min read
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar (tengah) dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh hari ini. Foto Facebook Polis Daerah Sungai Buloh.
Pihak polis berjaya melumpuhkan satu kumpulan penjenayah yang memecah kedai dan bengkel selepas polis menangkap enam orang termasuk dua wanita berumur antara 18 hingga 20 tahun dalam beberapa siri operasi Ahad lepas.
Kumpulan berkenaan ditahan selepas 24 jam selepas mereka memecah masuk sebuah bengkel motosikal di Saujana Utama di Sungai Buloh.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar, berkata polis menerima laporan daripada pemilik bengkel berhubung kejadian itu kira-kira jam 10.30 pagi Sabtu lalu.
Katanya, mangsa memaklumkan pelbagai peralatan bengkel dan barangan jualan termasuk minyak pelincir serta komponen alat ganti dan aksesori motosikal dianggarkan bernilai RM20,000 lesap.
“Susulan laporan itu, kita melancarkan Op Pintu Kumpulan Aqil dan berjaya menahan enam suspek termasuk dua wanita yang berada di dalam sebuah kereta di Lorong Bakawali Batu 18, Kuang, keesokannya selain menemui pelbagai barangan yang dicuri dari bengkel terbabit.
“Hasil soal siasat, polis turut menemui sebahagian lagi barangan yang dicuri di rumah salah seorang suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh hari ini.
Shafa’aton berkata, soal siasat dilakukan mendapati kumpulan itu aktif sejak Januari lalu dengan terbabit dalam dua kes pecah kedai di Sungai Pelong dan tiga kes pecah sekolah di Sungai Buloh.
“Kumpulan ini menggunakan teman wanita mereka sebagai mata-mata bagi melihat keadaan di sekitar lokasi sasaran. Hasil curi itu akan dibahagi sama rata dan dijual kepada kenalan rapat selain kegunaan sendiri.
“Semakan mendapati tiga daripada empat suspek lelaki mempunyai rekod berkaitan jenayah dan dadah, manakala tiga lagi suspek termasuk dua wanita tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.
Beliau berkata, semua suspek masih dalam tahanan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah kedai.