December 6, 2023

DARI MATA KITA : Anda Ingin Melancong Ke Mana Selepas COVID-19 Tamat Nanti??

5 min read

Aktiviti Whitewater Rafting di Sungai Kampar, Gopeng Perak dikendalikan oleh River Explorer Perak merupakan antara tarikan sukan sungai yang popular di Malaysia.

 

Selepas negara berjaya keluar sepenuhnya dari krisis pandemik COVID-19, lokasi mana yang anda akan pilih untuk melancong melepas geram selepas terkurung dalam daerah sendiri ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memutuskan rantaian jangkitan.

Di dalam pemikiran anda, sudah pasti sudah bertukar-tukar rancangan untuk bercuti. Lokasi juga sudah pasti bertukar-tukar kerana PKP silih berganti.

Susulan 1 Jun lepas, kerajaan melaksanakan pula Total Lockdown selama 14 hari, makin kusut lah fikiran kita menghitung hari bila agaknya masa semua ini akan berakhir. Bagaimanapun, ia akan berakhir apabila tiba masanya nanti dan kehidupan kita akan seperti sediakala.

Fenomena melancong beramai-ramai itu nanti mungkin boleh digelarkan sebagai “Tourism Boom”

Adakah anda ingin melancong ke pantai? Ke hutan? Membeli-belah? Ke sungai? Atau ke kawasan kampung?

Anda Ingin Melancong Ke Sungai?

Ini pun antara lokasi hangat di negara kita. Sungai yang popular di Malaysia biasanya ialah jeram dan air terjun yang ada di merata-rata di negara ini. Ia popular kerana airnya yang jernih dan sejuk. Sekali dapat berendam, sudah pasti masalah dalam kepala akan hilang dan jiwa akan rasa tenang.

Di Malaysia antara lokasi yang popular dengan sungai ialah di Perak. Di sana ada Lata Iskandar, Lata Kinjang, Hutan Lipur Ulu Kenas dan Sungai Kampar, di Gopeng. Di Gopeng bukan sahaja popular dengan mandi manda tetapi sebaliknya ia juga popular dengan sukan lasak air Whitewater Rafting.

Aktiviti Whitewater Rafting di Sungai Kampar di Gopeng bersama operator River Explorer Perak. Foto Facebook River Explorer Perak.

Jika anda tiada rancangan untuk melancong lagi, melanconglah ke Gopeng dan rasailah pengalaman sukan air Whitewater Rafting ini bersama dengan pasukan River Explorer Perak. Selain itu ada juga aktiviti lain yang menyeronokkan seperti Tubing dan Kayak. Gopeng juga merupakan lokasi yang terkenal dengan sukan air jenis ini di Malaysia.

Anda Ingin Melancong Ke Pantai?

Pantai sudah pasti menjadi antara rancangan utama anda untuk bercuti selepas PKP berakhir dan larangan rentas negeri ditarik balik. Pulau-pulau seperti Pulau Langkawi, Pulau Tioman, Pulau Pangkor dan Pulau Pinang akan menjadi destinasi utama anda.

Kalau yang tinggal dekat dengan Port Dickson, pantai peranginan itu nanti mesti penuh dengan pengunjung dari Lembah Klang memandangkan jaraknya dengan ibu negara Kuala Lumpur tidak jauh hanya kira-kira satu jam sahaja. Kelantan juga tidak kurang hebatnya dengan keindahan Pantai Irama di Bachok.

Pemandangan sebuah bot nelayan di tepi pantai di Pantai Irama di Bachok Kelantan. Jika bertuah, anda boleh melihat nelayan menolak bot pada awal pagi untuk ke laut menangkap ikan.

Langkawi pula sudah pasti penuh juga kerana pulau itu bukan sahaja ada pantai yang bersih dan cantik tetapi ia sudah dikenali sebagai tempat kegemaran orang Malaysia membeli-belah. Antara benda utama yang selalu jadi pilihan ialah coklat.

Orang Malaysia akan borong coklat jika ke Langkawi.

Anda Ingin Melancong Ke Hutan?

Bagi penggemar sukan aktiviti lasak seperti hiking, sudah tentu melancong ke hutan akan jadi sebahagian dari pilihan. Mungkin, selepas PKP tamat nanti muncul pula ramai yang menggemar aktiviti hutan. Minat timbul selepas terlalu lama kekal di rumah.

Destinasi hutan di sekitar Lembah Klang seperti trek hiking di bukit dah tentu akan dipenuhi manusia. Mungkin sesak. Semua orang hendak ambil kesempatan bernafas dengan udara segar di dalam hutan sambil berjalan menyusuri denai menyaksikan kecantikan flora dan fauna.

Pemandangan di tepi sungai di Taman Negara. Di sana, anda boleh menikmati pengalaman menaiki bot menyusuri sungai dan melawat ke perkampungan Orang Asli.

Tidak kurang juga yang merancang untuk pergi ke lokasi hutan yang lebih jauh seperti di Taman Negara atau di beberapa lokasi hutan simpan di seluruh negara. Silap-silap nanti Taman Negara pun akan dipenuhi dengan pengunjung. Satu perkara yang mungkin amat jarang dilihat terjadi.

Jika ke hutan, destinasi pendakian gunung-gunung juga akan pasti popular. Gunung Tahan, Gunung Nuang, Gunung Stong dan Gunung Kinabalu nanti akan menjadi destinasi panas tumpuan pelancong.

Anda Ingin Pergi Melancong Membeli-belah?

Pelancongan untuk membeli-belah juga amat popular di Malaysia. Aktiviti membeli-belah ini sebenarnya amat popular di seluruh negara. Setiap negeri ada kelebihan tersendiri jika disebut tentang membeli-belah. Kalau di Perak, Pulau Pangkor jadi lokasi membeli-belah ikan bilis atau hasil laut. Negeri Sarawak pula terkenal dengan hasil hutan dan karya asli suku kaum di sana.

Di Pahang, popular dengan membeli-belah keropok, kain tenun dan mungkin durian. Jika di Sabah, orang akan ke Kota Kinabalu membeli mutiara, barangan aksesori serta sayur-sayuran. Kalau di Kelantan, orang ramai akan pergi ke Pengkalan Kubor di Tumpat. Di Perlis sudah pasti Padang Besar jadi tumpuan untuk membeli-belah.

Pusat beli-belah Suria KLCC merupakan antara kawasan tumpuan membeli-belah selain ia juga ada kawasan taman yang cantik.

Di Kuala Lumpur pun orang ramai akan penuh di pusat beli-belah yang ada antaranya Sogo, Suria KLCC, Kompleks Pertama, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Bukit Bintang. Bukan sahaja orang dewasa, remaja juga sudah pasti berpusu-pusu ke sana nanti selepas krisis pandemik ini berakhir.

Anda Ingin Melancong Ke Kawasan Kampung?

Ini pun boleh jadi satu aktiviti menarik. Jika di kampung, kebanyakan lokasi popular ialah di Homestay. Jika ramai yang dah kemaruk nanti untuk bercuti bolehlah rancang ramai-ramai dan buat program di homestay di kampung di seluruh negara.

Antara kampung yang menarik ialah Homestay Kampung Ayer Limau di Masjid Tanah, Melaka. Bersama keluarga anda boleh tinggal di kampung dan bersama-sama belajar aktiviti di Kampung Ayer Limau yang terkenal dengan pembuatan Asam Keping dan juga anyaman rotan.

Anda boleh menyaksikan keunikan majlis kenduri perkahwinan di Homestay Kampung Ayer Limau dan mungkin merasai pengalaman memakai pakaian busana pahlawan Melayu.

Anda boleh juga mengenal tentang kelapa sawit dan getah di kampung itu. Homestay di kampung itu adalah antara homestay yang terkenal di negara ini.

Selain itu, anda boleh ke Homestay Kampung Lonek di Negeri Sembilan. Paling popular ialah di sini ada sawah padi yang menghijau. Anda boleh menikmati ketenangan di kampung ini sambil menikmati keindahan sawah padi.

Atur percutian anda bersama pengurusan homestay ini dan anda boleh merasai pengalaman Mengoca Ikan iaitu menangkap ikan di dalam parit di sawah dengan menggunakan tangan. Ia adalah satu pengalaman yang menarik.

Kegembiraan pada wajah peserta selepas program Mengoca Ikan di Homestay Kampung Lonek.
Pelampung itik gergasi yang ada di Sungai Pengkalan Datu di Min House Camp di Kubang Kerian, Kelantan.

Anda juga boleh bercuti di lokasi percutian yang menghijau di kawasan kampung di Kelantan iaitu Min House Camp di Kubang Kerian. Ia dikenali sebagai pusat peranginan dalam kawasan kampung di tepi sungai yang cantik. Di sana ada pelbagai jenis aktiviti. Sekarang ini, sudah ada banyak tarikan di Min House Camp antaranya kolam renang, persembahan laser, patung itik gergasi dan juga di sana anda boleh berkayak di Sungai Pengkalan Datu.

Tidak dinafikan hampir seluruh rakyat Malaysia hanya menunggu masa sahaja untuk melancong atau melakukan “Tourism Boom” nanti selepas PKP dan krisis pandemik berakhir.

Lokasi mana pilihan anda? – SEPATAH DUA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *