Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Catat Rekod Tertinggi Harian Semalam
1 min read
Kadar pemberian suntikan vaksin COVID-19 harian mencatatkan rekod tertinggi semalam dengan 117,563 dos telah disuntik kepada penerima, pada hari genapnya 100 hari selepas pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Perkara itu dimaklumkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menerusi laman sosialnya, hari ini.
“Jumlah ini (pemberian dos vaksin) akan terus meningkat,” menurut laman itu.
JKJAV memaklumkan, lebih 3.33 juta dos vaksin sudah diberi kepada penduduk negara ini membabitkan tiga jenis vaksin iaitu Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca setakat semalam.
Jumlah itu membabitkan 2.2 juta bagi dos pertama dan 1.12 juta bagi dos kedua.
Semalam, Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya meletak sasaran memberi 150,000 dos suntikan setiap hari bulan ini dan ditingkatkan kepada 200,000 suntikan menjelang bulan depan.
Sehingga kelmarin, katanya, kadar peratusan penduduk negara ini yang menerima vaksin sekurang-kurangnya satu dos sudah melepasi Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam.
PICK dimulakan pada 24 Februari lalu, dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama yang menerima suntikan.