June 19, 2021

SepatahDua.My

"KITA SENTIASA BERSAMA WARGA PALESTIN"

Pusat Pembakaran Mayat Di Seremban Tergendala Kerana Masalah Pendawaian Elektrik

2 min read

M. Muthuppalaniappan (kiri) dan T. Devendren memeriksa mesin pembakaran mayat yang tidak dapat beroperasi ekoran masalah pendawaian elektrik. Foto Utusan Malaysia.

 

Sebuah pusat krematorium atau pembakaran mayat di Seremban, Negeri Sembilan tidak dapat beroperasi sejak seminggu lepas kerana ada masalah pendawaian elektrik.

Difahamkan masalah berkenaan berpunca dari peningkatan mendadak jumlah mayat yang perlu diuruskan ditambah dengan mayat orang meninggal dunia akibat COVID-19.

Pengerusi Hindu Mayagana Sangam, Datuk M. Muthuppalaniappan berkata, pertubuhan itu yang menguruskan Pusat Pembakaran Mayat Hindu di Jalan Templer dekat sini sejak lebih 30 tahun yang lalu kini menghadapi masalah tersebut yang mengakibatkan dua mesin pembakaran mayat di situ tidak dapat berfungsi.

Ia sekali gus menyebabkan urusan proses pembakaran mayat tergendala sehingga menimbulkan kemarahan banyak pihak termasuk mereka yang mahu menguruskan mayat ahli keluarga masing-masing.

“Sejak Januari lepas sehingga minggu lalu, sudah 50 mayat individu dijangkiti Covid-19 telah dibakar di sini. Di Negeri Sembilan, di sini lokasi utama tempat pembakaran mayat dan sebuah lagi terletak di Bahau, Jempol.

“Peningkatan jumlah mayat yang dibakar setiap hari menyebabkan bangunan ini mengalami masalah pendawaian dan mesin pembakaran tidak dapat berfungsi. Ramai ahli keluarga yang marah-marah, tapi kami juga tidak boleh berbuat apa-apa, saya hanya dapat meminta mereka untuk mengebumikan sahaja mayat ahli keluarga mereka itu,” katanya menurut laporanUtusan Malaysia kelmarin.

Muthuppalaniappan menambah, kerja-kerja memperbaiki masalah pendawaian tersebut perlu mengambil masa kerana kerosakan yang besar yang dialami malahan memerlukan kos yang tinggi.

“Pihak kontraktor dan juruteknik yang kami upah juga menghadapi masalah untuk mendapatkan alat ganti kerana kedai elektrik yang biasa kami berurusan sebelum ini tidak mempunyai mempunyai kebenaran untuk beroperasi pada waktu sekatan pergerakan penuh.

“Satu-satunya kedai yang mempunyai alat ganti dan peralatan pendawaian yang diperlukan iaitu yang terletak di Seremban 2 perlu menawarkan harga yang agak tinggi iaitu sehingga RM20,000, jadi kami cuba mencari alternatif lain dan ia memang mengambil sedikit masa,” katanya.

Beliau berharap, pihak berkuasa dapat membantu pihaknya termasuk dengan memberi kebenaran kepada sebuah kedai elektrik yang mempunyai alat ganti tersebut untuk beroperasi.

“Mayat-mayat ini perlu kita uruskan dengan baik, takkan kita mahu apa yang terjadi di negara India berlaku di negara ini juga, jadi saya harap ada pihak dapat membantu kami,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja di pusat pembakaran mayat tersebut, T. Devendren, 33, berkata, mayat-mayat mangsa Covid-19 yang dibakar di situ bukan sahaja dari negeri ini malah ada juga yang datang dari Selangor, Melaka dan Johor.

“Sebelum kami menghadapi masalah pendawaian elektrik memang kami tidak menang tangan untuk menguruskan proses pembakaran mayat setiap hari. Pusat pembakaran mayat di Bahau hanya mempunyai sebuah mesin sahaja malah mereka tidak mempunyai kebenaran untuk melakukan pembakaran mayat pada waktu malam.

“Bukan sahaja mayat yang beragama Hindu dibakar di sini, malah mayat yang berbangsa Cina dan Sikh juga dibakar di sini. Peningkatan jumlah kematian kebelakangan ini telah menyebabkan masalah pendawaian elektrik berlaku,” katanya.

Tambahnya, dia turut difahamkan terdapat 10 mayat lagi masih tersimpan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) dekat sini gara-gara tiada tempat untuk proses pembakaran mayat dilakukan ketika ini.

Sumber berita asal oleh © Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *