September 24, 2023

Reezal Merican Terus Positif Terhadap Skuad Harimau Malaya!

2 min read

Kekalahan skuad Harimau Malaya malam tadi sekali gus menutup peluang negara untuk mara ke peringkat seterusnya bagi kelayakan Piala Dunia dan akan melengkapkan aksi terakhir kumpulan G menentang Thailand 16 Jun nanti.

Turun dengan misi ‘wajib’ menang, Malaysia mempamerkan aksi cukup bertenaga sebaik sahaja wisel ditiup namun gagal mencipta peluang untuk menguji penjaga gol Vietnam, Bui Tan Truong.

Walaupun tewas 1-2 kepada Vietnam namun pujian harus diberikan kepada skuad Harimau Malaya yang mempamerkan aksi cukup bersemangat dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, sebentar tadi.

Skuad Naga Emas hampir memperolehi gol pembukaan namun penyerang, Nguyen Tien Linh gagal melakukan tampanan dengan baik selepas menerima hantaran lintang rendah daripada Doan Van Hau pada minit ke-16.

Empat minit kemudian, giliran pasukan negara menguji gawang lawan menerusi percubaan Syafiq Ahmad pada minit ke-19 namun tepat ke dakapan Truong.

Akhirnya keputusan tidak memihak kepada kita, apabila tindakan Brendan Gan melakukan kekasaran ke atas penyerang Vietnam, Nguyen Van Toan dari belakang mengakibatkan pengadil perlawanan, Ryuji Sato menghadiahkan sepakan penalti, dan peluang itu mudah disempurnakan kapten pasukan, Que Ngoc Hai pada minit ke-73 untuk membolehkan kemenangan buat pasukan mereka.

Kemenangan itu menyaksikan Vietnam terus mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu kumpulan G dengan 17 mata mengatasi pencabar terdekat, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang mengutip 15 mata selepas mencatat kemenangan 5-0 ke atas Indonesia pada hari yang sama.

Walaupun situasinya begitu dan negara kita kalah, namun Menteri Belia Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican tetap memberi kata-kata semangat kepada para pemain dan kumpulan sokongan skuad Harimau Malaya.

Beliau tidak bersikap memberi lebih tekanan atau menjatuhkan salah secara menyeluruh kepada pasukan bolasepak negara kita.

Sejurus selepas tamat perlawanan, dikala masing-masing berduka, Reezal tampil mengucapkan syabas untuk perlawanan berikutnya.

Walaupun kita tidak lagi berpeluang mencapai impian negara, namun setidak-tidaknya negara kita masih ada peluang untuk ambil tempat di “Top 3”.

“Syabas Harimau Malaya! Aksi malam ini membuktikan semangat perjuangan anda semua masih kuat dan tersemat di dada. Usaha yang cukup baik, namun nasib tidak menyebelahi pasukan kita.

“Jangan putus asa! Terus usaha dengan lebih fokus dan tenaga untuk cabaran yang seterusnya – wajib menang pada 16 Jun menentang pasukan Thailand. Masih ada peluang untuk ambil tempat di Top 3. Misi anda masih belum tamat – Demi Negara, Demi Malaysia.” katanya.

Semoga semangat tidak pernah mengaku kalah yang ditunjukkan oleh Menteri Belia Sukan ini dapat menjadi perangsang kepada skuad Harimau Malaya selepas ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *