September 24, 2023

Warga Hungary Kini Sudah Tidak Perlu Pakai Pelitup Muka Lagi

3 min read

Warga Hungary kini sudah perlahan-lahan meninggalkan amalan norma baharu dan sudah kembali normal selepas hampir keseluruhan dari 10 juta penduduknya sudah menerima suntikan vaksin.

 

Jika anda berada di negara Hungary, kini memakai pelitup muka tidak lagi menjadi perkara wajib, taman awam sudah dibuka semula kepada orang ramai dan di sana sudah boleh makan di restoran serta murid sudah kembali ke sekolah.

Ini keadaan yang dinikmati di Hungary sekarang sementara masih banyak negara di dunia masih mengenakan sekatan pergerakan kepada rakyatnya untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Seorang penuntut dari Malaysia di Hungary, Puteri Norliana Megat Ramli berkata kini rakyat Hungary sudah perlahan-lahan meninggalkan amalan norma baharu akibat wabak pandemik berkenaan.

Beliau yang berada di Budapest berkongsi perasaan leganya ketika mengimbau detik 21 Mei apabila Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban mengumumkan sebahagian besar sekatan COVID-19 ditarik balik pada tarikh berkenaan, termasuk memakai pelitup muka di tempat awam, selepas 50 peratus penduduk negara itu divaksin.

Dihuni 9.8 juta orang, Hungary satu-satunya negara di Tengah dan Timur Eropah yang menyaksikan separuh daripada penduduknya sudah menerima vaksin COVID-19 dengan sekurang-kurangnya satu dos.

Menurut laporan BERNAMA, penuntut berusia 34 tahun dari Taiping, Perak yang sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana Advanced Practitioner Nursing in Intensive Care di Universiti Pecs itu berkata beliau menerima dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech pada 10 Mac.

Kini terdapat kira-kira 100 rakyat Malaysia berada di Hungary.

Beliau gembira kerana dengan kad imuniti yang diberikan kepada mereka yang menerima suntikan, ia akan memudahkan pergerakan dan lebih bebas untuk ke mana jua.

Satu lagi perkara menarik berdasarkan pemerhatiannya, walaupun memakai pelitup muka di tempat terbuka bukan lagi satu kemestian sejak 23 Mei, namun tidak berlaku lonjakan kes COVID-19 sehingga kini.

“Saya gembira dapat kembali dengan kehidupan seperti sebelum ini pada pasca COVID-19. Kini lebih bebas dan saya dapat menghirup udara segar tanpa memakai pelitup muka,” katanya.

Puteri Norliana berkata, universiti dibuka dan kelas fizikal disambung semula selepas berbulan-bulan mengikuti pembelajaran secara dalam talian sejak November tahun lalu.

Sementara itu Nor Amira Abdul Rahman, 31, berkata semakin ramai orang mula berkumpul di tempat awam untuk menikmati musim panas terutama mereka yang mempunyai kad imuniti yang dikeluarkan kerajaan.

“Lebih banyak perniagaan terutamanya pusat beli-belah dibuka, boleh makan di restoran, dan pawagam juga dibuka. Orang ramai boleh bergerak dan meneruskan rutin harian mereka tanpa pakai pelitup muka.

“Semuanya kelihatan normal, lebih ramai orang keluar dan ada yang menghabiskan masa di Danau Balaton (tempat rekreasi di Hungary) dan bersukan seperti biasa,” kata pelajar doktor falsafah Biologi di Universiti Eotvos Lorand (ELTE), Budapest.

Nor Amira memuji usaha kerajaan Hungary dalam memastikan pemberian vaksinasi dengan cepat dan percaya Malaysia juga sedang giat berusaha ke arah itu.

Bernama turut menghubungi Duta Hungary ke Malaysia Dr Petra Ponevács-Pana untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai kejayaan memerangi virus sehingga membolehkan negara itu dalam jangka waktu yang singkat berada di fasa pasca wabak.

Apatah lagi selepas negara itu dilanda gelombang ketiga COVID-19 pada Mac, apabila 11,265 kes harian dilaporkan setiap hari. Namun, hanya kurang tiga bulan, jumlah kes menurun amat ketara, dengan hanya 199 kes dilaporkan pada Jumaat lalu.

“Pada 4 Jun konsert pertama berlangsung, ratusan pengunjung menghadirinya, mereka meraikan sambil mendengar muzik di sebuah kelab terbuka.

“Anda boleh minum kopi dengan rakan-rakan anda, anda dapat bersiar-siar di bandar, anda dapat menonton teater dan melawat muzium. Jadi, pada dasarnya kehidupan sudah kembali normal di Hungary,” katanya.

Kunci utama kejayaan ini ialah usaha mempercepatkan pemberian vaksin dan Hungary adalah negara pertama di Kesatuan Eropah (EU) yang menggunakan vaksin COVID-19 dihasilkan Sinopharm China dan Sputnik V Russia, sekali gus membantu menjadi satu daripada negara yang mencapai kadar vaksinasi tertinggi di EU.

Diplomat itu yakin Malaysia juga mampu mencapai kejayaan yang sama susulan usaha kerajaan yang giat untuk meningkatkan kadar inokulasi.

Beliau turut memuji sikap rakyat Malaysia yang mematuhi prosedur operasi standar (SOP) yang ditetapkan kerajaan, ia akan membantu lagi usaha negara untuk memutuskan rantaian jangkitan.

“Saya sentiasa berasa selamat berada di sini di Malaysia dan semua rakan saya juga berasa selamat, kerana rakyat mematuhi peraturan yang menjadi asas penting untuk memerangi COVID-19.

“Saya kembali ke Hungary beberapa bulan lalu dan terkejut melihat orang-orang di sana. Mereka tidak disiplin seperti rakyat Malaysia. Pakai pelitup muka di luar, tidak pergi beli-belah, saya fikir rakyat Malaysia pada amnya sangat berdisiplin,” katanya.

Sumber berita asal © BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *