Tak Lama Lagi.. Ada Alat Penggera Siling Boleh Kesan Orang Positif COVID-19
1 min read
Gambar alat penggera yang boleh dipasang di siling di dalam bilik untuk mengesan orang yang positif COVID-19.
Kumpulan saintis dari Britain kini sedang membangunkan satu sistem penggera yang boleh memantau dan mengesan orang yang sudah dijangkiti COVID-19 dalam sebuah bilik biar pun orang itu tidak bergejala.
Bayangkan, seseorang yang positif wabak berkenaan masuk ke dalam sebuah bilik, secara tiba-tiba penggera berbunyi.
Peranti berkenaan dicipta sebuah syarikat yang beroperasi di Cambridge yang bernama Roboscientific.
Fungsinya ialah ia akan mengesan bahan kimia yang dihasilkan oleh kulit atau pernafasan orang dijangkiti COVID-19 dan memberi amaran awal untuk mengelakkan wujudnya kluster jangkitan.
Alat ini boleh dipasang di siling mirip sistem penggera asap yang berbunyi jika mengesan kebakaran. Ia mempunyai ketepatan melebihi ujian transkripsi songsang reaksi rantaian polimerase (RT-PCR).
Ia dikatakan boleh mengesan orang yang sudah dijangkiti COVID-19 di dalam pesawat, kelas, pejabat atau rumah dalam masa 15 minit dengan ketepatan antara 98 hingga 100 peratus.
Alat berkenaan berharga £5,000 (RM29,000) setiap satu dan ia dilihat lebih menjimatkan berbanding kit ujian pakai buang yang biasa digunakan. Pada masa ini, alat itu sedang diuji oleh Saintis di London School of Hygiene and Tropical Medicine (LSHTM) dan di Universiti Durham.
Ketua Jabatan Kawalan Penyakit LSHTM, Prof James Logan berkata peringkat ujian klinikal dijangka selesai menjelang akhir tahun ini.
“Kajian lanjut masih diperlukan tetapi analisis awal membabitkan 54 sampel berjaya menarik minat Jabatan Kesihatan dan Penjagaan Sosial United Kingdom (UK), yang mahukan kami meneruskan kajian.
“Saya percaya harganya boleh dikurangkan jika pengeluaran komersial bermula bagi peranti yang boleh dipasang di pelbagai premis dan keputusan dihantar terus ke komputer atau telefon bimbit,” katanya.