Lelaki Gagal Beri Keterangan Kerana Miliki 58 Pakaian Dalam Wanita Didakwa
1 min read
Tertuduh Pelayan restoran, Ong Kok Thye, 23 tahun, ketika dibawa anggota polis di Mahkamah Masjitret Petaling Jaya hari ini. Foto BERNAMA.
Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini dan dituduh gagal memberikan keterangan berhubung pemilikan 58 helai pakaian dalam wanita di rumahnya.
Tertuduh, seorang pelayan restoran, Ong Kok Thye, 23 tahun, mengaku tidak bersalah dan mohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa Mandarin di hadapan Majistret M Barath.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didapati memiliki 58 helai pakaian dalam wanita iaitu seluar dalam, baju dalam dan seluar pendek serta dia tidak dapat memberikan keterangan memuaskan bagaimana barang berkenaan diperoleh.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah unit kondominium, di Dataran Mentari di sini, jam 12.35 tengah hari, pada 15 Jun lalu.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Zafirah Syed Mustafa, menawarkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, Kok Thye yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan berhubung permohonan ikat jamin.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana tiada penjamin yang hadir dan menetapkan 9 September ini untuk sebutan semula kes.
Semalam, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid dalam satu kenyataan media berkata seorang wanita membuat laporan polis berhubung individu yang berlegar-legar di ruangan lif di kondominium.
Beliau berkata, wanita berkenaan mengesyaki lelaki itu terbabit dengan kehilangan beberapa pakaian miliknya sebelum ini.
“Lelaki itu kemudian mengaku di hadapan suami pengadu dan pihak pengurusan kondominimum bahawa dia mencuri pakaian wanita dan kemudian menunjukkan lokasi pakaian berkenaan disimpan iaitu di bilik tidur rumahnya di kondominium sama,” katanya.