December 6, 2023

KDN Kenal Pasti Mereka Yang Didaftarkan Secara Automatik Jadi RELA Untuk Tindakan Sususlan

1 min read

Anggota Jabatan Sukarelawan (RELA) sedang dalam perbarisan.

 

Pihak Kementerian Dalam Negeri akan kenal pasti orang yang didapati didaftarkan sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) secara automatik menerusi sistem MyRELA yang tular baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata masa ini pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada orang berkenaan untuk diambil tindakan susulan.

“Kita kenal pasti jumlah keseluruhan individu terbabit dan kini dalam proses menghubungi seorang demi seorang untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Sebelum ini, sistem pendaftaran anggota RELA dilakukan secara manual. Sebab itu, kita minta RELA menghubungi individu berkenaan untuk tahu siapa orangnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di sebuah pusat beli-belah, di Puchong, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Mastor Mohd Ariff.

Hamzah berkata, beberapa individu berkenaan turut mendakwa dihubungi beberapa pihak yang meminta tandatangan mereka sebelum ini.

“Ada dua, tiga individu yang kita hubungi memaklumkan ada orang minta mereka turunkan tandatangan. Namun, mereka sendiri tidak tahu sama ada tandatangan itu untuk kemasukan sebagai anggota RELA atau sebaliknya.

“Mereka yang mahu menyertai RELA perlu memastikan penyertaan dilakukan mengikut saluran betul,” katanya.

Selasa lepas, KDN dilaporkan menunggu laporan penuh siasatan RELA mengenai isu tular di media sosial yang mendakwa berlakunya pendaftaran automatik dalam sistem MyRELA tanpa pengetahuan orang ramai.

Hamzah dipetik sudah memaklumkan kepada Ketua Pengarah RELA, Yahya Sulaiman supaya meneliti perkara berhubung pendaftaran automatik berkenaan bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *