September 27, 2023

Tunggu! Berita Gembira Untuk Industri Sukan Bakal Diumumkan Tak Lama Lagi, Kata Reezal Merican

2 min read

 

Antara bidang yang terkesan akibat serangan pandemik Covid-19 adalah sukan. Ini memaksa para atlit terus menerus merayu kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) agar dapat disediakan inisiatif tambahan untuk mereka berbanding bantuan sedia ada oleh pihak kerajaan.

Menteri bertanggungjawab, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sentiasa berusaha untuk memastikan kebajikan atlit negara yang terkesan dengan impak negatif pandemik ini terus terbela dari semasa ke semasa.

Awal pagi Isnin, 21 Jun 2021 beliau memulakan tugas hariannya untuk berbincang bersama YBM Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan bagi mencari keputusan terbaik untuk membantu para pemain industri sukan.

Walaupun pasti ada yang menganggap menteri jarang mendengar keluh kesah netizen ketika mereka bersuara, namun tidak bagi Reezal.

Beliau sendiri membuat pengakuan bahawa setiap komentar dan pandangan yang disalurkan dalam media sosial menjadi perhatian dan diteliti satu persatu olehnya.

“Saya tahu ramai yang susah hati. Saya baca setiap komen, pandangan, keresahan dan kesulitan yang dihadapi oleh rakan-rakan industri sukan di semua platform media sosial saya. Satu persatu saya teliti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perbincangan bersama Menteri Kewangan ini merupakan sebahagian daripada engagement berterusan yang dilakukan oleh KBS bersama pihak Perbendaharaan dalam melihat pendekatan yang boleh membantu rakan-rakan industri sukan.

Reezal turut mengambil kesempatan tersebut mengucapkan penghargaan terima kasih kepada mereka yang tidak jemu memberi pandangan dalam kerajaan menyelesaikan isu-isu kebajikan para pemain industri sukan tanah air.

“Terima kasih saya ucapkan kepada rakan-rakan pemain industri yang terus-menerus memberi pandangan konstruktif di samping turut memahami situasi semasa kawalan penularan COVID-19 yang sedang kita laksanakan. Sebagaimana hasrat semua untuk melihat industri sukan kita revive, begitulah juga hasrat saya.

“Ada juga rakan industri sukan yang membantu dengan menjalankan survey bagi mendapatkan maklum balas di peringkat akar umbi.

“Saya juga sempat mengikuti pelbagai perbincangan yang dibuat secara maya sama ada melalui Facebook Live, Zoom atau perbincangan aplikasi Clubhouse mengenai industri sukan. Malam tadi pun saya sempat mendengar perbincangan Visi Sukan Negara 2030 di Clubhouse berkenaan hal ini,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Kepala Batas itu turut memaklumkan bahawa setiap input yang diterima telah digarapkan sebagai intipati utama dalam memuktamad pembentangan kepada pihak Perbendaharaan.

Malah, beberapa cadangan bersifat intervensi dan rehabilitasi industri sukan telah dikemukakan dan disesuaikan dengan garis masa Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang akan dilaksanakan mengikut fasa-fasa yang ditetapkan seperti mana pengumuman oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin.

Ini merupakan suatu perkembangan yang ditunggu-tunggu oleh para pemain industri sukan tanah air. Namun kita harus bersabar seketika kerana pastinya ia perlu melalui beberapa fasa perancangan dan pengumpulan data yang tepat sebelum sesebuah inisiatif itu dibentangkan kepada khalayak umum.

“Insya Allah, saya akan kongsikan pengumuman berkaitan tidak lama lagi. Ia diharap dapat mengurangkan sedikit beban serta memberi kelegaan terhadap kesulitan sedang ditanggung oleh pemain industri,” ujar Reezal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *