November 29, 2022

Demi Tugas, Petugas Kesihatan Tempuh Perjalanan Berliku Untuk Vaksinasi Orang Asli

2 min read

Jururawat menyuntik vaksin COVID-19 kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Meter di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Betau, di Lipis, Pahang. Ia merupakan sebahagian Program Outreach Vaksinasi (POV) COVID-19. Foto Facebook Fikrah Pahang.

 

Terpaksa menempuh perjalanan sejauh 50 kilometer menaiki kenderaan pacuan empat roda semata-mata tugas untuk memberikan suntikan vaksin adalah satu perkara yang perlu dilalui oleh petugas kesihatan untuk sampai ke kampung Orang Asli.

Ia bagi menjayakan Program Outreach Vaksinasi (POV) COVID-19.

Untuk sampai ke sana, perjalanan ambil masa 2 hingga 3 jam melalui jalan balak ditambah dengan bentuk muka bumi yang berbukit merupakan satu cabaran untuk 20 orang petugas terdiri daripada jururawat, pegawai kesihatan dan doktor.

Bagi Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Sungai Koyan, Dr Rafidah Mahmud, semangat kental dan keyakinan pada diri perlu ada pada setiap petugas untuk menghadapi apa sahaja rintangan tentang tugas yang ada di depan mereka.

Beliau yang juga pakar rujukan POV daerah ini, berkata demi tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan apa sahaja halangan perlu dihadapi dengan misi memberi vaksin COVID-19 kepada masyarakat Orang Asli yang tinggal jauh di pedalaman.

“Perjalanan yang jauh bukan sahaja memenatkan tetapi turut menyebabkan rasa tidak selesa sakit anggota badan apabila terlalu lama berada dalam kenderaan.

“Namun demi tanggungjawab dan kepentingan menjaga kesihatan terhadap masyarakat Orang Asli, rombongan kami tetap berusaha untuk sampai ke kampung terbabit,” katanya.

Beliau ditemui pada POV di Kampung Meter di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Betau, di Lipis, kelmarin.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang, Johari Alwi.

Pada program berkenaan seramai 20 jururawat, pegawai kesihatan dan doktor dari Klinik Kesihatan Sungai Koyan, di sini terbabit memberikan suntikan vaksinasi kepada masyarakat Orang Asli di sana.

Program bermula 16 Jun lalu memerlukan mereka menjelajah kesemua kampung pedalaman masyarakat Orang Asli di daerah ini.

Dr Rafidah berkata, rombongan mereka akan bertolak pagi dan balik lewat petang setiap kali ke kampung pedalaman.

“Walaupun penat, kami berpuas hati dapat berbakti pada masyarakat Orang Asli yang kini mula menerima vaksi COVID-19 secara suka rela.

“Kami akan terus menjayakan POV ke semua kampung masyarakat Orang Asli di daerah ini dalam memastikan Orang Asli bebas daripada wabak Covid-19 seperti yang harapkan kerajaan,” katanya.

Bagi Nur Shahira Mohd Basri yang bertugas sebagai jururawat di Klinik Kesihatan Sungai Koyan, penat anggota badan menempuh perjalanan jauh seolah hilang apabila melihat ramai masyarakat Orang Asli yang menunggu di pusat pemberian vaksi bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

“Masyarakat Orang Asli di daerah ini menerima suntikan vaksin jenis Sinovac yang disediakan kerajaan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Kerjasama yang diberikan masyarakat Orang Asli melancarkan lagi POV di daerah ini,” katanya.

Sumber berita © bharian.com.my

Leave a Reply

Your email address will not be published.