September 24, 2023

MAQIS Tahan Makanan Tambahan Haiwan Dari Korea Selatan Kerana Tiada Permit Import

1 min read

 

Pasukan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) bertindak menahan barangan berupa makanan tambahan haiwan dari Korea Selatan seberat 98,400 kilogram di Pelabuhan Utara di Pelabuhan Klang Ahad lepas.

Pengarah MAQIS Negeri Selangor, Zamri Hashim, berkata makanan tambahan bagi haiwan ternakan itu ditahan, kerana tiada permit import sah dari jabatan berkenaan.

Ia terdiri dari makanan tambahan jenis gluten jagung atau Corn Gluten Meal di dalam sebuah kontena.

“Hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan oleh pegawai penguatkuasa MAQIS pada jam 12 tengah hari itu, kita mendapati terdapat makanan tambahan haiwan seberat 98,400kg, dianggarkan bernilai RM291,364.14 dibawa masuk tanpa permit import yang sah.

“Susulan itu,kesemua barang dagangan itu ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, makanan tambahan itu diimport sebuah syarikat tempatan dan ia adalah kesalahan kedua bagi syarikat itu pada tahun ini.

Katanya, perbuatan mengimport apa juga jenis keluaran pertanian tanpa permit import yang sah daripada Jabatan MAQIS adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *