August 15, 2022

Pelantikan Tetap Pegawai Perubatan Berdasarkan Kekosongan Perjawatan Oleh SPA – Menteri

2 min read

Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan pelantikan tetap pegawai perubatan dibuat berdasarkan kriteria ditetapkan dan kekosongan jawatan tetap dari semasa ke semasa.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, tawaran pelantikan juga mengambil kira peraturan berkaitan perjawatan dan kewangan yang sedang berkuat kuasa.

Beliau berkata, pelantikan tetap melebihi perjawatan tetap keseluruhan sedia ada tidak dibenarkan dan ia boleh mengundang teguran audit.

Menurutnya, bagi memastikan penilaian dibuat lebih adil, proses penilaian semasa latihan siswazah dibuat pada setiap penempatan dan kriteria penilaian pelantikan tetap juga dimaklumkan kepada setiap pegawai.

“Selain itu, KKM juga telah menubuhkan tiga peringkat Jawatankuasa Penilaian yang dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) bagi proses penilaian pelantikan.

“Malah, pelantikan tetap turut diperakui oleh Ketua Pengarah Kesihatan dan Ketua Setiausaha Kementerian bagi memelihara ketelusan dan integriti dalam proses memperakukan pelantikan secara tetap,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.

Adham berkata, seperti mana kementerian lain, KKM juga tertakluk dengan Dasar Kawalan Saiz Perkhidmatan Awam yang berkuat kuasa.

Beliau menjelaskan bahawa pertambahan perjawatan tidak dibuat berdasarkan jumlah graduan perubatan yang bertambah pada setiap tahun.

Menurutnya, sejak Disember 2016, pengambilan graduan perubatan dibuat secara kontrak berikutan kekangan perjawatan tetap dan membolehkan pengambilan dibuat tanpa lagi bergantung kepada kekosongan tetap yang terhad.

“Kontrak yang ditawarkan adalah sehingga tiga tahun bagi membolehkan graduan perubatan menjalani latihan siswazah dan kemudiannya disambung untuk tempoh dua tahun lagi untuk membolehkan mereka melengkapkan khidmat wajib,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 23,077 Pegawai Perubatan UD41 telah dilantik secara kontrak bagi menjalani latihan siswazah dan khidmat wajib bagi tempoh Disember 2016 hingga 31 Mei lalu.

Katanya, daripada jumlah tersebut, seramai 789 daripada 2,544 pegawai dari Kohort Lantikan 1 Tahun 2016, Kohort Lantikan 1 Tahun 2017 dan sebahagian Kohort Lantikan 2 Tahun 2017 yang layak diperakukan pelantikan tetap telahpun ditawarkan pelantikan tetap oleh SPA.

Jelasnya lagi, kohort lantikan lain yang masih dalam latihan dan belum dipertimbangkan pelantikan tetap, perkhidmatan mereka masih disambung sehingga tahun 2022.

Baru-baru ini, Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia dan Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia mahu kerajaan meneliti semula pengambilan dan penempatan lantikan baharu graduan perubatan untuk berkhidmat di KKM. – K! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.