“Ini Soal #KitaJagaKita , Prihatin Dan Peka Keadaan Jiran Sekeliling Kita” – Jalaluddin Alias
2 min read
“Allahuakbar… Hati saya ini sayu bila mengenangkan ada rakyat di luar sana yang mengikat perut kerana tidak mampu beli walau sekampit beras. Saya cuba bantu seadanya.
“Berbalik kepada isu tekanan perasaan ini, semua pihak perlu segera mainkan peranan. Kerajaan sudah tidak boleh berdiam diri. Keadaan ekonomi negara sekarang ini sudah jatuh kepada no 2. Ekonomi dan kocek rakyat ini yang perlu keutamaan segera sekarang.”
Begitulah keluhan yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Haji Alias apabila menyaksikan sendiri laporan-laporan media tentang keresahan rakyat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini.
Justeru beliau mendesak pihak kerajaan agar dapat mengembangkan lagi proses pemberian bantuan kepada golongan M40 disamping mempercepatkan proses agar ia segera sampai kepada golongan memerlukan ini.
“Segala bentuk bantuan yang boleh diberi harus diberi segera, i-Sinar 2.0, Moratorium 2,0 secara automatik harus segera dilaksanakan. Bantuan-bantuan yang telah diumumkan sebelum ini juga harus dipercepatkan prosesnya,” katanya dalam suatu kenyataan pada Khamis.
Jalaluddin yang juga Pengerusi UDA Holdings Berhad menasihati orang ramai supaya sentiasa peka kepada situasi jiran tertangga dan bersama memanjatkan doa supaya Covid-19 beransur pulih.
“Ini bukan soal jaga tepi kain orang, ini adalah soal #KitaJagaKita. Kita perlu prihatin dan peka dengan keadaan jiran di sekeliling kita.
“Dan jika anda ketika ini menghadapi tekanan perasaan, jangan dipendam, jangan disimpan. Cari orang untuk berkongsi, cari orang yang boleh membantu. Tindakan memendam ini akhirnya akan memakan diri kita sendiri.
“Marilah kita sama-sama berdoa agar keadaan pandemic ini akan beransur pulih dengan cepat. Semakin lama keadaan ini berterusan, rakyat akan semakin tertekan,” katanya dalam kenyataan tersebut. – SEPATAHDUA