November 29, 2022

Makin Ramai Yang Nak ‘Terlingkup’, Hattan Seru Moratorium Automatik Segera

1 min read

Penyanyi Datuk Hattan merayu agar kerajaan mempertimbangkan pemberian moratorium secara automatik kepada golongan marhaen, terutama segelintir rakyat kini hidup dalam kesempitan.

Pelantun lagu Memburu Rindu itu turut menzahirkan kebimbangan jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang dikuatkuasakan sekarang akan berterusan berikutan jumlah kes masih melebihi paras 4,000 sehari.

“Assalamualaikum. Apa khabar semua? Kes (jangkitan Covid-19) masih melebihi 4,000. Maknanya PKP akan berpanjangan. Jadi sekarang ini macam mana? Sebab ramai rakyat marhaen mengadu mereka dah nak ‘terlingkup’ (susah).

“Tolonglah beri mereka moratorium secara automatik sebab tak terdaya nak meneruskan hidup. Ada yang tidak bekerja, ada yang kerja gaji setengah bulan,” katanya menerusi satu hantaran dalam Instagramnya.

Katanya lagi, ramai rakyat bawahan terkesan sejak pelaksanaan PKP 3.0 lalu. Sebagai contoh, Hattan mengandaikan pekerja di kompleks membeli-belah tidak dapat melakukan kerja lebih masa (over time) kerana ditutup sepanjang PKP 3.0.

“Pekerja kompleks membeli-belah mengharapkan kerja lebih masa untuk mendapatkan wang lebih. Tapi sekarang sudah terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, Hattan itu memohon pihak kerajaan memberikan moratorium bukan sahaja kepada rakyat biasa, tetapi juga kepada penggiat seni. Ujarnya, golongan penggiat seni juga terkesan sama seperti kebanyakan orang lain.

“Semua dah nak terlingkup dah. Peniaga kecil buka sampai pukul 8 malam. Biarlah mereka berniaga sampai pukul 10 malam.

“Kerajaan tolonglah kami. Kalau pasar raya besar pun boleh ‘meraung’, bagaimana nasib peniaga kecil?” jelasnya.

Terdahulu, kerajaan pada 11 Jun lalu mengumumkan akan menyambung pelaksanaan PKP 3.0 untuk tempoh sehingga 28 Jun ini.

Keputusan diambil setelah mengambil kira jumlah kes harian melebihi 5,000 sehari. Semalam, Malaysia mencatat kes baharu Covid-19 sebanyak 5,244. – K! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.