August 13, 2022

Mazlan Lazim Kini Timbalan Ketua Polis Negara

1 min read

KUALA LUMPUR, 02 September 2020 - Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim pada sidang akhbar selepas menyempurnakan gimik pelancaran pelupusan barang kes perjudian Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Balai Polis Alam Damai Cheras di sini hari ini. Gambar FAUZI BAHARUDIN

Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Seri Mazlan Lazim, 59, dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang ke-27 berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan Mazlan bagi mengisi kekosongan jawatan berkenaan yang sebelum ini dipegang Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani yang dilantik sebagai Ketua Polis Negara, 4 Mei lalu.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Mazlan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut kenyataan itu, Mazlan yang dilahirkan pada 25 Disember 1961 di Kota Setar, Kedah berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Pembangunan Sumber Manusia dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi Sumber.

Katanya, beliau pernah menjawat jawatan di daerah sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah (TKPD) Melaka Tengah, Melaka, TKPD Tanah Merah, Kelantan, TKPD Shah Alam, Selangor, Ketua Polis Daerah (KPD) Padang Besar, Perlis dan KPD Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.

“Selain itu, beliau pernah menjawat jawatan Pegawai Staf Latihan di Maktab Polis Kuala Kubu Bharu, Selangor dan Pegawai Belanjawan, Bahagian Latihan Bukit Aman,” katanya di sini hari ini.

KDN berkata, di peringkat kontinjen atau negeri, beliau pernah bertugas sebagai Timbalan Ketua Polis Negeri Kelantan sebelum dinaikkan pangkat seterusnya dilantik sebagai Ketua Polis Kelantan.

Katanya, beliau juga pernah diamanahkan sebagai Timbalan Ketua Polis sebelum dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur.

“Mazlan juga pernah dilantik sebagai Ketua Pengarah, Bahagian Perlindungan Jabatan Perdana Menteri,” katanya. -K! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.