September 27, 2023

Orang Asli Takut Dicucuk Vaksin, Tapi Mereka Lebih Percayakan Kerajaan

1 min read

SUNGAI SIPUT: “Memang takut, tetapi kerajaan sudah suruh (ambil suntikan vaksin Covid-19), jadi kita ikutlah.”

Itu reaksi Ateh Ngah, 53, dari Kampung Takong di Pos Perwoh, Lasah yang merupakan antara 100 penerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bas Bergerak MARA Liner di Orang Asli One Stop Centre (OAOSC) di Kampung Bawong di sini hari ini.

Menurut Ateh, meskipun bimbang untuk menerima suntikan tersebut setelah mendengar pelbagai cerita negatif, namun dia memilih untuk tidak percaya.

Katanya, dia yakin saranan kerajaan untuk semua golongan masyarakat divaksinasi adalah langkah terbaik bagi membendung penularan wabak berbahaya itu.

“Saya datang sebab kerajaan suruh. Memanglah takut tapi saya yakin ini terbaik untuk semua,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Bagi Tok Batin Kampung Gentes, Pos Piah, Arifin Long Chor, 45, berkata, dia gembira akhirnya menerima suntikan vaksin Covid-19 yang telah lama ditunggu-tunggu.

Katanya, ramai masyarakat Orang Asli di kampungnya juga bersedia untuk disuntik setelah melihat tiada perkara buruk berlaku kepada rakan mereka yang menerima suntikan lebih awal.

“Mula-mula memang susah untuk beri pemahaman kepada mereka kebaikan vaksin ini namun selepas lihat ada yang okey selepas dicucuk, jadi kerisauan itu berkurangan,” katanya.

Sementara itu, Ahab Sudin, 52, yang merupakan Tok Batin Kampung Perjek Pos Legap berkata, dia berharap Kementerian Kesihatan dapat mempercepatkan proses vaksinasi kepada masyarakat Orang Asli.

Katanya, sebagai Tok Batin dia mahu menjadi contoh kepada komuniti setempat agar tidak takut untuk menerima suntikan sama.

“Cerita-cerita tular itu memang buat orang takut tetapi saya nasihatkan anak buah supaya tidak lagi bimbang, lihat saya sebagai contoh,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *