PPV Bas Bergerak Inisiatif Baharu Dari KPLB Untuk Galakkan Orang Asli Suntik Vaksin
2 min read
Pelbagai usaha dilakukan pihak kerajaan bagi memujuk dan memastikan masyarakat luar bandar dapat keluar untuk mengambil suntikan vaksin Covid-19 mereka segera.
Antara pihak yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan perkara ini adalah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
Justeru sebuah ‘task force’ telah digerakkan di peringkat KPLB untuk menjayakan misi besar ini dengan diketuai sendiri oleh Timbalan Menteri 1, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Sejak beberapa bulan yang lalu, pelbagai pendekatan dan gerak kerja telah dilakukan bagi memastikan penduduk luar bandar tidak ketinggalan untuk menerima suntikan vaksin.
Manakala pada hari ini, sekali lagi inisiatif baharu diperkenalkan iaitu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bas Bergerak Mara Liner yang berupaya memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada 800 penerima sehari.
Ia bukan sahaja memberi kemudahan kepada masyarakat luar bandar khususnya Orang Asli, malah dapat memastikan tiada dalam kalangan mereka yang ketinggalan untuk menerima suntikan tersebut.
Ulas Abdul Rahman, selain memberi penerangan jelas mengenai kebaikan suntikan vaksin Covid-19, KPLB juga berusaha membantu komuniti itu yang menghadapi kesukaran untuk hadir ke PPV dengan membawa perkhidmatan tersebut ke kawasan berhampiran mereka.
“Kita tahu, di kebanyakan kawasan Orang Asli tiada tempat yang selesa untuk PPV sedangkan vaksin ini perlu dikawal termasuk dari segi penyimpanan dan suhu yang diperlukan.
“Jadi, kita sediakan perkhidmatan bas bergerak ini untuk memberi suntikan vaksin kepada masyarakat luar bandar khususnya komuniti berkenaan.
“Kita berharap, melalui usaha yang telah dilaksanakan ini, kesemua 144,180 masyarakat Orang Asli di seluruh negara yang layak divaksinasi dapat menerima suntikan dengan segera,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat PPV Bas Bergerak Mara Liner di Orang Asli One Stop Centre (OAOSC) di Kampung Bawong di Sungai Siput Perak, hari ini.
Dalam program tersebut, seramai 100 masyarakat Orang Asli termasuk 40 Tok Batin di daerah Kuala Kangsar dan 60 warga emas komuniti itu menerima suntikan dos pertama di PPV Bas Bergerak Mara Liner.
Sungai Siput menjadi lokasi pertama PPV Bas Bergerak Mara Liner di mana dua daripada 17 buah bas ekspres yang diubah suai di tempatkan di lokasi tersebut.
Menurut Abdul Rahman, penerimaan komuniti Orang Asli terhadap suntikan vaksin semakin baik apabila pendaftaran untuk menerima suntikan berkenaan semakin meningkat.
Malah katanya, ada dalam kalangan mereka hadir di PPV untuk mendapatkan suntikan meskipun nama tidak tersenarai sebagai penerima pada hari berkenaan.
“Hakikatnya, mereka mahu divaksin dan mahu menjalani kehidupan seperti dulu di mana boleh keluar berjalan ke bandar tanpa pakai pelitup muka dan minum teh di kedai.
“Malah, mereka sendiri yang bertanya pada kita bila mereka boleh menerima suntikan berkenaan. Ini reaksi apabila kita pergi ke kampung mereka,” katanya.